JELI – Seorang lelaki tidak sempat menyeludup sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux dipercayai kenderaan curi selepas kegiatannya dihidu oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhampiran Sungai Golok dekat Ayer Lanas di sini hari ini.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (Dua Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, bertindak atas maklumat, anggota ATM berjaya menjejaki sebuah trak pikap yang cuba diseludup ke Thailand melalui Sungai Golok kira-kira pukul 9.35 pagi.
Menurutnya, menyedari kehadiran anggota ATM, pemandu trak pikap itu bertindak melarikan diri menyeberangi Sungai Golok dengan meninggalkan kenderaan tersebut di pinggir sungai.
“Pemeriksaan mendapati, trak pikap jenis Toyota Hilux yang dianggarkan bernilai RM 149,880 itu merupakan kenderaan curi.
“Kenderaan tersebut akan direkodkan sebagai Barang Rampasan Tanpa Tuan. Kes itu diserahkan kepada Balai Polis Ayer Lanas di sini untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Menurut kenyataan itu, ATM akan terus mempertingkatkan kawalan di kawasan sempadan bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penyeludupan. – KOSMO! ONLINE