fbpx

K2

Suntikan elemen kesihatan dalam dekorasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ELEMEN batu dan kayu mendominasi ruang restoran herba di Muar, Johor ini.

BAGI peminat kartun The Flintstones yang pernah mencetus fenomena sekitar tahun 60-an dahulu, pasti kenal dengan hiasan dalaman berkonsepkan batu.

Itulah pandangan pertama pengunjung saat melihat hiasan dalaman yang berkonsepkan hutan dan batu di Restoran Herba Nasuha.

Restoran di Muar, Johor tersebut merupakan sebahagian daripada ladang Nasuha Herbs & Spice yang berkeluasan sebanyak 3,200 hektar.

Sesuai dengan statusnya sebagai perniagaan berasaskan herba dan rempah-ratus, keseluruhan hiasan dalaman restoran berkenaan dihiasi dengan sumber hutan.

Pelbagai jenis herba dan rempah ratus yang terdapat di ladang tersebut dipamerkan menerusi hiasan batu di dinding sekitar restoran.

Selain itu, pemilihan perabot juga memiliki elemen hutan apabila kerusi batu seakan-akan kayu pokok ditebang dijadikan meja makan dan kerusi restoran.

Menurut pengarah urusan Nasuha Enterprise Sdn. Bhd., Rohaya Ahmad, idea dekorasi restoran tersebut merupakan ilham pemilik syarikat, Nasuha Kasian sendiri.

“Idea dekorasi berkaitan herba ini tercetus ketika tuan haji (pemilik) merantau keluar negara dan melihat bagaimana konsep dekorasi herba dan rempah-ratus boleh diaplikasikan ke dalam restorannya.

Batu-batu turut digunakan untuk membentuk hiasan yang menarik di dinding restoran tersebut.

“Batu-batu dalam restoran tersebut diimport dari beberapa buah negara. Kita mahu pelanggan merasai suasana berada di ladang herba sambil menikmati makanan berasaskan tumbuhan-tumbuhan tersebut,” katanya.

Restoran yang terletak di tengah-tengah antara dewan makan besar dan ruang kedai boleh menempatkan sebanyak 50 hingga 60 orang dalam satu-satu masa.

Untuk memasuki restoran yang menawarkan makanan berasaskan herba itu, pelanggan perlu membuka kasut terlebih dahulu.

Ini kerana, bahagian lantai restoran memiliki batu-batu dengan susunan refleksologi sekali gus memberikan kesan kesihatan kepada sesiapa sahaja yang memijaknya.

Tambah Rohaya, susunan batu-batu kerikil dan batu-batu sungai tersebut memiliki tiga peringkat yang memberikan tahap tekanan berbeza di bahagian tapak kaki.

Untuk bahagian fasa pertama, tekanannya agak kurang berbanding fasa dua dan seterusnya fasa tiga.

Ketiga-tiga fasa ini berfungsi melancarkan peredaran darah serta mampu merawat bahagian yang bermasalah.

“Bagi yang sihat, mereka tidak akan mudah rasa sakit apabila pijak di batu-batu tersebut. Tetapi bagi golongan yang memiliki masalah kesihatan, kesakitan yang mereka rasa akan lebih kuat.

“Lantai reflekologi dipasang di celah-celah antara satu meja ke satu meja yang lain.

“Ini bertujuan untuk memberikan sokongan untuk pelanggan berpaut sekiranya mereka tidak tahan dengan rasa sakit tersebut,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI