COLOMBO – Orang ramai beratur panjang bagi mendapatkan makanan dan bahan api di Sri Lanka pada tahun lalu, namun kali ini, mereka berbaris untuk giliran meninggalkan pulau muflis tersebut.
“Apa yang kelihatan normal hanyalah khayalan. Situasi (di Sri Lanka) tidak semakin baik. Apabila kami menilai keadaan termasuk masa depan anak kami, lebih baik untuk kami berhijrah. Kami mahu berpindah ke sebuah negara seperti New Zealand,” kata eksekutif penjagaan pelanggan, Gayan Jayewardena, 43,
kepada AFP semasa beratur di sebuah pejabat kerajaan untuk mendapatkan pasport bayi perempuannya.
Dia, isteri dan dua anak perempuan mereka yang lebih tua sudah memiliki pasport sendiri.
Negara Asia Selatan didiami 22 juta penduduk itu menderita akibat ketiadaan bekalan asas pada tahun lalu selepas kerajaan kehabisan mata wang dolar untuk membiayai import utama termasuk ubat-ubatan utama.
Protes berbulan-bulan membawa kepada rakyat menyerbu istana Presiden Gotabaya Rajapaksa pada 9 Julai 2022.
Penggantinya, Ranil Wickremesinghe pula melakukan dua langkah tidak popular iaitu menaikkan cukai dua kali ganda dan memansuhkan subsidi.
Kerajaan baharu Sri Lanka mungkin berjaya memulihkan semula bekalan bahan keperluan tetapi pada harga yang kadangkala tiga kali ganda lebih mahal berbanding sebelum ini.
Wickremesinghe mendapat pinjaman penyelamatan berjumlah AS$2.9 bilion (RM13.54 billion) daripada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) Mac lalu dan menjangka Sri Lanka akan pulih pada tahun depan, namun ramai yang tidak sependapat.
Jurutera perisian berusia 38 tahun, Maduranga berkata, kos sara hidup dan cukai tinggi mendorong dia merancang untuk berpindah ke Australia.
“Kos sara hidup menjadi tinggi dan meningkat setiap hari, namun gaji tetap tidak berubah.
“Syarikat-syarikat tidak menaikkan gaji pekerja. Ini adalah sebab kenapa kami mahu berpindah,” kata Maduranga.
Di biro pekerjaan luar di mana rakyat Sri Lanka perlu mendaftarkan diri sebelum bekerja di luar negara, bilangan pemohon meningkat daripada 122,000 orang pada 2021 kepada 311,000 orang tahun lalu sekali gus rekod baharu.
Sepanjang lima bulan pertama 2023, biro sama merekodkan kira-kira 122,000 orang telah meninggalkan Sri Lanka, angka sama seperti keseluruhan 2021.
Bagaimanapun, pegawai-pegawai percaya bahawa ramai lagi penduduk meninggalkan Sri Lanka menerusi visa pelancongan untuk mencari kerja di Asia Baratdan tempat-tempat lain di Asia.
Bilangan rakyat yang memohon pasport meningkat lebih dua kali ganda daripada lebih 382,500 orang pada 2021 kepada 911,689 pemohon tahun lalu apabila ekonomi Sri Lanka menguncup 7.8 peratus, manakala trend tersebut berterusan.
Setakat Mei lalu, sebanyak 433,000 dokumen perjalanan ke luar negara telah dikeluarkan, demikian menurut Jabatan Imigresen dan Penghijrahan Luar.
Sistem online dilancarkan pada Jun lepas untuk menangani lonjakan permintaan tetapi mereka yang mahu mendapatkan pasport segera perlu memohon secara bersemuka.
“Nombor giliran saya ialah 976 dan selepas saya, terdapat kira-kira 500 pemohon lain. Saya tidak menjangka sebegini ramai orang memohon pasport dalam masa satu hari,” kata Damitha Hitihamu, 51, selepas menyerahkan dokumen untuk memperbaharui pasportnya.
Sri Lanka merupakan negara pengeskport tenaga kerja selama beberapa dekad dengan membekalkan kedua-dua pekerja mahir dan kurang mahir ke luar negara khususnya negara Teluk.
Bagaimanapun, impak akibat tenaga kerja yang mengalir keluar semakin dirasai.
Akhbar-akhbar tempatan menyiarkan berita mengenai negara kini kekurangan doktor, jururawat, jurutera dan pekerja mahir lain selepas ramai antara mereka meninggalkan Sri Lanka.
Kumpulan pemikir Institut Advocata berkata, golongan kelas pertengahan kini mencari peluang kerja di luar negara untuk lari daripada kemiskinan di negara sendiri.
“Dalam kalangan rakyat paling miskin, mereka mengurangkan kekerapan makan, manakala kelas pertengahan yang mampu pula cuba berhijrah ke luar negara,” kata ketua Advocata, Dhananath Fernando. – AFP