Oleh RAJA JAAFAR ALI
BEKAS pemenang pingat emas Olimpik London 2012 acara mendayung empat berpasukan Matthew Brittain, 36, dari Afrika Selatan muncul juara pada Kejohanan L’Etape Malaysia di Desaru Coast, Kota Tinggi hari ini.
Dia yang mewakili kelab basikal Matador Racing dari Singapura bertanding bagi kategori elit 140 kilometer (km) mula meninggalkan dua peserta lain yang bersaing rapat di laluan Sedili sebelum memasuki jalan Kota Tinggi-Mersing menuju ke garisan penamat dengan catatan masa 3 jam 17 minit 40 saat.
Menurut Brittain, stamina dan kekuatan fizikal serta mental acara sukan berbasikal hampir menyamai dengan sukan mendayung.
“Bagaimanapun, sukan basikal lebih mencabar berbanding mendayung kerana terdedah dengan cuaca panas dan berisiko.
“Sukan mendayung pula tidak terlalu panas kerana berada di atas air dan hanya memerlukan kekuatan hayunan tangan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas tamat kejohanan L’Etape Johor 2023.
Ketika ditanya punca dia beralih dalam sukan berbasikal Brittain berkata, keputusan itu dilakukannya kerana ingin menceburi sukan yang baru dan menguji ketahanan diri.
“Saya mencabar diri sendiri untuk aktif dalam sukan berbasikal,” katanya yang menduduki tempat ketujuh dalam kejohanan yang sama tahun lalu.
Sementara itu bagi kategori wanita elit 140 km pula dimenangi oleh juga pelumba dari Afrika Selatan, Alicia Brittain yang mewakili Kelab Matador Racing Singapura.
Alicia, 35, yang juga isteri kepada Brittain berkata, dia tidak menyangka boleh menjuarai kategori berkenaan yang disertai ramai pelumba elit wanita.
Walaupun berdepan dengan cuaca panas dia yang mencatat masa 3 jam 22 minit dan 14 saat itu bertekad untuk menyertai kejohanan ini pada tahun hadapan bersama suaminya.
Seramai 3,614 peserta menyertai edisi kedua L’Etape Malaysia yang dianjurkan di negara ini dengan Desaru menjadi lokasi perlumbaan itu.
Penyertaan dalam kalangan pelumba amatur terbesar termasuk dari luar negara itu melibatkan dua jarak kayuhan iaitu 140km dan 60km.
L’Etape Malaysia menjadi acara ikonik buat pencinta acara berbasikal kerana mereka dicabar untuk berkayuh seperti seorang pelumba profesional.
Sebanyak enam kategori dipertandingkan bagi kedua-dua jarak berkenaan iaitu lelaki dan wanita individu, lelaki dan wanita berpasukan dan cabaran pecutan lelaki dan wanita. – KOSMO! ONLINE