GUA MUSANG – Lebih 2,000 penduduk masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di tiga pos pedalaman daerah ini lega apabila kerja-kerja menaik taraf atau penggredan jalan sedang dilaksanakan di sepanjang laluan menuju perkampungan mereka.
Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan dan Terengganu, Roslina Bun berkata, projek itu membabitkan laluan dari Pos Balar, Pos Belatim dan Pos Bihai yang sering rosak teruk terutamanya ketika musim tengkujuh.
Katanya, pihak jabatan mengambil berat terhadap masalah jalan perhubungan yang sering membelenggu masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman.
“Bagi mengatasi sementara isu jalan yang rosak, Jakoa sedang menggredkan kawasan-kawasan yang dilihat mengalami kerosakan yang sangat kritikal.
“Kita mendapati kawasan yang terlibat adalah di laluan dari Pos Bihai ke Pos Balar,” katanya.
Seorang penduduk Pos Bihai, Along Angah, 40, berkata kerja-kerja menaik taraf jalan balak itu sangat dinantikan oleh penduduk Orang Asli di kawasan itu.
Katanya, masalah jalan yang rosak menyebabkan penduduk sukar untuk keluar membeli barang keperluan serta menjual hasil tanaman.
“Kami menantikan laluan tersebut dinaik taraf kerana jalan balak ini merupakan penghubung untuk kami keluar masuk ke kampung sejak berpuluh tahun lalu.
“Kami sering berdepan masalah kerana perlu melalui keadaan jalan yang berbatu dan berlumpur. Ia amat berbahaya kepada kami,” katanya.
Mus Alang, 53, pula berkata, kerja-kerja penggredan jalan itu akan memberi keselesaan kepada mereka untuk menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan Balar.