BALIK PULAU – Kementerian Pengangkutan akan memohon peruntukan sebanyak RM10 juta pada tahun depan untuk Program MyLesen B2 bagi membantu lebih ramai golongan B40 memiliki lesen motosikal.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, lebih 30,000 orang akan memperoleh manfaat daripada Program MyLesen B2 itu sekiranya permohonan peruntukan sebanyak RM10 juta itu diluluskan Kementerian Kewangan.
“Pada tahun ini peruntukan yang diperoleh untuk program ini adalah RM2.7 juta menerusi Belanjawan 2023 dan ia telah memberi manfaat kepada kira-kira 9,000 orang.
“Kami merancang untuk memohon lebih banyak peruntukan pada tahun depan iaitu dua atau tiga kali ganda berbanding peruntukan tahun ini, mungkin RM10 juta dan jika lulus ia boleh memberi manfaat kepada lebih 30,000 orang,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan lesen menerusi Program MyLesen B2 peringkat Pulau Pinang, di sini hari ini.
Dalam majlis itu, seramai 293 pelajar sekolah daripada 12 buah sekolah di daerah Barat Daya yang terdiri daripada kumpulan B40 menerima lesen memandu kelas B2 iaitu lesen motosikal.-KOSMO! ONLINE