PETALING JAYA – Demi melunaskan rindu, bapa kepada Allahyarham Siti Sarah, Raisuddin Hamzah sanggup meredah perjalanan selama tujuh jam bertemu seorang kanak-kanak seiras satu-satunya anak perempuannya, Allahyarham Siti Sarah.
Menerusi perkongsian isterinya, Siti Fatimah Suberi, Raisuddin mengunjungi kediaman gadis kecil bernama Miza itu dengan ditemani anak sulung arwah Siti Sarah, Uwais Alqarni, 12.
“Rezeki dapat jumpa adik Miza. Tujuh jam perjalanan sebab suami nak sangat jumpa,” kongsi Siti Fatimah yang mesra dipanggil Makder menerusi laman sosial.
Begitu pun Makder tidak menyebut lokasi kediaman keluarga kanak-kanak tersebut.
Usahawan tudung itu turut berkongsi detik pertemuan mereka yang turut menyaksikan Uwais tampak malu-malu pertama kali melihat kanak-kanak perempuan berwajah persis ibunya.
Raisuddin yang juga penyanyi popular 1980-an mengakui bentuk gigi dan tangan Miza sama seperti arwah anaknya.
Dalam hantaran lain, Raisuddin turut menganggap kanak-kanak tersebut sudah seperti cucu sendiri.
Suami Siti Sarah, Shuib juga meninggalkan komen dengan mengatakan wajah kanak-kanak terbabit saling tak tumpah seperti Siti Sarah ketika kecil.
“Masya-Allah, comelnya lahai. Macam Siti Sarah masa kecil. Sampaikan salam saya pada adik Miza,” katanya.
Shuib atau Shahmira Muhammad, 39, juga sempat membuat panggilan video bersama Miza ditemanj isteri baharunys, Watie Hanifiah.
“Sama la yang (sayang), dia buat mata macam tu terus sama,” luah Watie yang turut mengakui rupa paras kanak-kanak ini seakan-akan arwah Siti Sarah seperti tular menerusi TikTok.
Ini bukan kali pertama ada individu lain dikatakan memiliki wajah seiras Siti Sarah.Tahun lalu sekitar lapan bulan selepas pemergian Siti Sarah, Makder membuat kejutan pada hari jadi ke-66 Raisuddin dengan mengundang ‘kembar’ arwah hadir pada majlis keraiannya.
Kemunculan wanita bernama Emy membawa bersama kek hari jadi buat Raisuddin membuatkan semua orang, termasuk anak-anak arwah tergamam.
Terdahulu Shuib mendirikan rumah tangga dengan Siti Sarah pada 2011, namun Allahyarham meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19.
Selain Uwais, hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata termasuk Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 2. – KOSMO! ONLINE