ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super setelah menewaskan Negeri Sembilan 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.
Kemenangan tersebut menyaksikan Harimau Selatan terus mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus dalam liga menang kesemua 16 perlawanan dengan mengutip 48 mata.
Beraksi di laman sendiri, JDT hampir menjaringkan gol pembukaan pada minit kedua menerusi gerakan yang dilakukan Afiq Fazail mencari Fernando Forestieri namun penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman pantas menyambar bola tersebut.
Gol pembukaan perlawanan hadir pada minit ke-20 menerusi jaringan pemain bek tengah, Feroz Baharudin yang melonjak tinggi menanduk hantaran sepakan bebas Velazquez menewaskan penjaga gol Sikh Izhan.
Velazquez sekali lagi memberikan ancaman buat pasukan pelawat dengan melakukan rembatan dari luar kotak penalti namun penjaga gol bijak menghidu percubaan itu dengan menangkap kemas sepakan itu.
Sebelum tamat babak pertama, Velazquez akhirnya berjaya mendapat gol yang diburu menerusi sepakan percuma menewaskan penjaga gol untuk meletakkan JDT di kedudukan yang selesa.
Bersambung babak kedua, pengendali JDT, Esteban Solari membawa masuk Bergson Da Silva menggantikan Diogo Luis Santo bagi menambah bisa jentera serangan tuan rumah.
Walaupun ketinggalan, Negeri Sembilan enggan mengibar bendera putih apabila terus melancarkan serangan balas namun tidak sentuhan penyudah menyebabkan tiada sebarang gol dapat dihasilkan.
Bergson yang melancarkan serangan demi serangan ke arah pintu gol Negeri Sembilan namun tidak berjaya mencetak jaringan pada perlawanan itu.
Kemenangan tersebut menyaksikan Harimau Selatan terus selesa berada di persada Liga Super setelah menang 2-0. – KOSMO! ONLINE