PUCHONG – Seorang lelaki tempatan ditemui rentung selepas rumahnya di Lorong 6, Kampung Seri Puchong, di sini, terbakar awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 2.30 pagi.
Jelasnya, sepasukan anggota bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong, BBP Cyberjaya dan BBP Seksyen 7 telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mendapati sebuah rumah di atas tanah lot telah terbakar 90 peratus.
“Anggota berjaya mengawal kebakaran pada pukul 3.11 pagi,” katanya dalam kenyataan awal pagi tadi.
Menurut beliau, lelaki tempatan berusia 37 tahun ditemui rentung dalam kebakaran terbabit dan punca kebakaran masih dalam siasatan. -KOSMO! ONLINE.