fbpx

Lat diumum Seniman Diraja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lat (kanan) bersama Sultan Nazrin (dua dari kanan) mengunjungi Galeri Rumah Lat di Batu Gajah hari ini. - Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/KOSMO!

BATU GAJAH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengumumkan kartunis negara, Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid atau Lat sebagai Seniman Diraja.

Baginda mengumumkan perkara itu pada perasmian Galeri Rumah Lat di sini hari ini.

“Mengiktiraf peranan dan sumbangan besar lagi bermakna Datuk Mohammad Nor Khalid memperkenalkan Malaysia di pentas antarabangsa, dengan sukacitanya Beta mengumumkan beliau sebagai Seniman Diraja,” titah baginda.

Baginda juga menyifatkan Lat sebagai seorang seniman yang dikurniakan Allah bakat sangat istimewa dan luar biasa.

Baginda bertitah, sumbangan dan penglibatan Lat dalam dunia kartun tanah air amat terserlah serta berjaya mengangkat dirinya sebagai tokoh kartunis yang cerdas, bersifat genius, serta memiliki identiti yang unggul.

Titah baginda, lakaran bersahaja melalui garapan pengalaman telah meletakkan karya-karya Lat di kelas tersendiri, melayakkan beliau dianugerahi dengan pelbagai penghargaan dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa yang turut mengharumkan nama negara.

“Karya-karya beliau menggambarkan pandangan dan analisis peribadinya terhadap pelbagai isu, menyentuh kehidupan rakyat jelata terdiri daripada pemandu bas, pemandu teksi, polis trafik, pegawai kastam, pegawai imigresen, doktor dan jururawat, hakim dan peguam, pilot dan pramugari, tokoh sukan, pemimpin agama, pemimpin politik dan pemimpin negara, menyentuh isu-isu lokal, nasional dan antarabangsa.

“Di sebalik karikatur lucu yang dikembari dengan dialog ringkas, terkandung falsafah, mesej-mesej yang serius, sindiran yang tajam, persoalan dan saranan, diolah dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan, tanpa mengundang konflik dan permusuhan,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, melalui lakaran-lakaran yang santai dan bersahaja, Lat berjaya mengetengahkan pemerhatian yang tajam mengenai kehidupan masyarakat majmuk yang hidup dalam harmoni.

Baginda bertitah, karikatur Lat banyak menceritakan tentang apa yang benar-benar berlaku dalam kehidupan masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum, menganut pelbagai agama, mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa dan Lat melihat kepelbagaian tersebut sebagai aset dan khazanah berharga di negara ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI