SEJAK sekian lama, mencandat sotong menjadi satu aktiviti yang popular di kawasan perairan di Pantai Timur terutama di Terengganu.
Maka, tidak hairanlah negeri itu menjadi tumpuan dan kunjungan kaki-kaki pancing atau mereka yang ingin merasai pengalaman mencandat sotong terutamanya apabila tiba musimnya.
Kebiasaannya, musim mencandat sotong bermula pada hujung April hingga September.
Baru-baru ini, penulis juga berkesempatan merasai pengalaman itu apabila berpeluang mencandat sotong di perairan Kemaman, Terengganu.
Perjalanan untuk mencandat sotong dimulakan sekitar pukul 10 pagi dengan menaiki bot di kawasan jeti Kuala Kemaman.
Lazimnya mencandat sotong dilakukan pada sebelah malam, tetapi penulis bersama tujuh rakan lain bertolak lebih awal untuk memancing ikan terlebih dahulu di sekitar perairan tersebut.
Namun, nasib kami tidak berapa baik kerana tidak banyak ikan yang diperoleh.
Kemudian sekitar pukul 5 petang, tekong bot mula mencari lubuk-lubuk yang dibanjiri dengan kawanan sotong.Kebanyakan sotong di kawasan itu adalah sotong torak.
Menjelma maghrib dan bulan mula terang, sotong-sotong mula ‘galak’ meragut gewang yang dilempar.
Apa yang penulis boleh rasakan, ada waktu-waktu tertentu di mana sotong-sotong itu begitu aktif untuk meragut gewang.
Sejurus gewang dilemparkan, dalam tempoh tidak sampai 10 minit sotong-sotong sudah meragut gewang tersebut.Malah, ada rakan penulis yang boleh membawa naik dua ekor sotong sekali gus.
Namun, ada ketikanya pula, sotong-sotong itu tidak meragut gewang-gewang yang dilempar dan kami memilih untuk berehat seketika.
Berbicara tentang umpan yang digunakan, penulis dan rakan-rakan menggunakan pelbagai jenis gewang untuk mencandat sotong.
Penggunaan gewang candat yang pelbagai akan memberi pilihan untuk sotong-sotong menyambar candat.
Antara gewang yang digunakan adalah candat mayat yang mempunyai bentuk seakan mayat dikafankan.
Ia kebiasaannya dihasilkan daripada plastik dan getah yang boleh memantulkan cahaya bagi menarik perhatian sotong.
Penulis juga menggunakan gewang candat udang dan tidak dapat dinafikan sotong lebih menggemari umpan ini. Gewang tiruan ini berbentuk udang dan dilengkapi dengan mata kail bersisir.
Untuk mencandat sotong, penulis gunakan pelbagai gewang candat yang dipasang pada set perambut.
Hasil sotong yang dicandat pada hari itu juga amat memuaskan dan keseluruhan kami mendapat hampir 30 kilogram (kg) sotong yang kemudiannya dibahagikan sama rata.
Sepatutnya jumlah sotong yang diperoleh lebih banyak, tetapi kerana masing-masing penat ada yang mengambil keputusan untuk tidur dan berehat pada malam tersebut.
Dalam pada itu, mencandat sotong di tengah laut juga ternyata mempunyai cabarannya yang tersendiri.
Laut yang bergelora membuatkan bot akan sentiasa bergoyang dan mereka yang tidak biasa pasti akan berasa pening serta muntah untuk beberapa kali.