fbpx

Jangan nafikan peranan Kerajaan Persekutuan – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar pada program Temu Anwar Kedah di UUM, Sintok hari ini. Foto oleh SHAHIR NOORDIN/KOSMO!

SINTOK – Kerajaan Persekutuan memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi di negeri-negeri termasuk yang dikuasai oleh pembangkang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, justeru, kerajaan negeri tidak sepatutnya menafikan peranan dan sumbangan kerajaan pusat dalam pertumbuhan ekonomi negeri.

“Kalau tanya saya kerajaan negeri itu kalau sehaluan lebih senang, apatah lagi kalau pimpinan lebih sopan. Jika hubungan baik, ia akan membantu.

“Kalau soal pembangunan ekonomi, katalah Kedah, paling tinggi adalah Kulim Hi-Tech yang mana hampir keseluruhan pelaburannya daripada kerajaan pusat, namun kita tidak nafikan peranan kerajaan negeri,” katanya ketika sesi dialog bersama pelajar dan mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) pada program Temu Anwar Kedah di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini hari ini.

Seorang mahasiswa bertanyakan sama ada rakyat perlu memilih kerajaan negeri yang sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan atau memilih yang terbukti keberkesanannya dalam pentadbiran.

Mahasiswa terbabit memberi contoh pentadbiran kerajaan negeri Terengganu pimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang dikatakan meningkat dalam aspek pertumbuhan ekonominya termasuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sejak diambil alih daripada kerajaan terdahulu.

Mengulas mengenai perkara itu, Anwar berkata, sektor minyak dan gas menjadi penyumbang tertinggi dalam pertumbuhan ekonomi di negeri Pantai Timur itu yang mana ia melibatkan syarikat Petronas yang berada di bawah Kerajaan Persekutuan.

“Memang betul Terengganu nampak meningkat tetapi dari nilai ambang mana, paling rendah (kedudukan) kerana Terengganu negeri paling miskin di Semenanjung. Kalau mereka naik empat peratus Selangor naik satu peratus, negeri Selangor tetap paling tinggi.

“Saya ada beritahu Menteri Besar (Terengganu) bahawa ketika ke China ada pelaburan syarikat petrokimia yang nak ke Johor, saya cakap lihat juga Terengganu sebab ada potensi. Baru ini ada cadangan tenaga angin (melibatkan) kos tinggi yang bercadang nak eksport ke Singapura.

“Saya kata angin yang kuat di sebelah Pantai Timur, maka saya pilih Kelantan atau Terengganu. Esok kalau sampai (projek itu) ke sana saya tak mahu nafikan peranan orang Terengganu dan kerajaannya tapi jangan nafikan sebenarnya kekuatan itu daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI