BANGKOK – Seorang guru di Thailand tular selepas menyiarkan gambar seorang pelajar tadika bersama kapsyen ‘mengapa jodoh saya dilahirkan lewat?’, lapor laman berita Thaiger.
Selepas hantaran itu dikongsi semalam, tindakan guru tersebut mencetuskan maklum balas negatif dengan netizen mempersoalkan kenapa dia dibenarkan untuk mengajar.
Gambar itu memaparkan seorang pelajar tadika sedang makan di kantin sekolah sambil dikelilingi rakan sekelasnya.
Orang ramai percaya guru itu bertindak sedemikian kerana rasa sayang kepada pelajar terbabit dan meluahkannya sebagai jenaka.
Bagaimanapun, sesetengah pihak melihat tindakan itu tidak wajar dan tidak senonoh.
Mereka mempersoalkan sama ada tindakan itu boleh dianggap sebagai pedofilia dan melanggar etika perguruan profesional.
Pihak sekolah kemudian menyiasat perkara itu dan berjanji perkara sedemikian tidak akan berulang. – Agensi