fbpx

‘Bedah siasat’ Sukan SEA cari kekuatan ke Sukan Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD SHAPAWI (tengah) mengakui sesi post mortem yang dilakukan sebelum ini bukan untuk mencari salah mana-mana pihak sebaliknya untuk mendapatkan kekuatan menjelang temasya Sukan Asia nanti.

MAJLIS Sukan Negara (MSN) mendedahkan sesi ‘bedah siasat’ yang diadakan baru-baru ini hanya untuk mencari kekuatan bagi menghadapi temasya Sukan Asia Hangzhou yang membuka tirai pada September depan.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, mesyuarat selama dua hari dilakukan baru-baru ini bukan mencari kesilapan mana-mana pihak susulan kegagalan kontinjen negara pada temasya Sukan SEA Kemboja pada Mei lalu.

Katanya, antara yang dibangkitkan oleh persatuan sukan kebangsaan dalam post mortem itu adalah mengenai pengurusan program latihan dan seterusnya akan membuat rumusan keseluruhan sewaktu temasya di Kemboja.

“Apa yang penting dalam post mortem ini adalah kita bukan mencari kesilapan mana-mana pihak. Sebaliknya mencari kelemahan dan kekuatan yang ada untuk kita perbaiki terutama bagi menghadapi Sukan Asia dalam masa terdekat ini.

“Semua maklumat dan maklum balas yang kita terima dalam post mortem itu kita akan kumpul dan buat rumusan dalam satu bentuk laporan yang lebih tersusun. Kita akan bentangkan kepada ahli lembaga pengarah MSN dan menteri,” katanya ketika ditemui pada Karnival Allianz Moveforward di MSN Bukit Jalil di sini hari ini.

Post mortem yang diadakan selama dua hari pada Khamis dan Jumaat lalu membabitkan MSN, Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), wakil daripada persatuan sukan kebangsaan, jurulatih dan wakil Universiti Sains Sukan Nippon (NSSU) di Tokyo, Jepun.

Kontinjen Malaysia gagal menepati sasaran 40 pingat emas di Sukan SEA Kemboja apabila hanya membawa pulang 34 emas, 45 perak dan 96 gangsa serta mengakhiri saingan di kedudukan ketujuh keseluruhan.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut mengulas mengenai post mortem itu dan menegaskan kehadiran wakil daripada NSSU membolehkan mereka memberi maklum balas secara terus terhadap apa yang dibangkitkan oleh persatuan sukan kebangsaan..

“Bila kita dengar cabaran yang mereka (persatuan sukan) hadapi, kita dapat input secara terus daripada wakil NSSSU dan semua input ini telah dikumpul bersama dan akan dikaji dengan teliti.

“Kita mahu pastikan dalam masa terdekat kalau ada cabaran jangka pendek yang kita hadapi dan boleh tangani sebelum Sukan Asia, kita akan lakukan. Untuk jangka panjang kita sudah ada HLC (Jawatankuasa Peringkat Tertinggi) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi),” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI