RASA lemak-lemak manis larutan gula melaka bersama santan sawit yang dihidangkan sejuk dapat menyegarkan tekak terutama apabila diminum ketika cuaca panas.
Lebih menambat selera, hidangan itu turut dilengkapi mangga susu yang dipotong dadu, aiskrim, isi cendol pandan asli, kacang merah, butiran jagung dan biji selasih bagi melengkapkan rasa.
Pencuci mulut yang diberi nama cendol mangga spesial itu merupakan salah satu menu paling laris di gerai Cendol Manggo Sum’beso di Bangunan Majlis Sabak Bernam Tonggak 9, Sungai Besar, Selangor.
Menurut pemilik gerai, Rahimah Haji Rusni, 41, dia memilih santan sawit sebagai bahan asas cendolnya kerana ia memiliki pelbagai manfaat berbanding santan biasa.
“Santan sawit memiliki vitamin A dan E semula jadi dan tidak meningkatkan kadar kandungan kolesterol LDL (tidak baik) dalam badan.
“Dari segi penggunaan bahan mentah, penggunaan satu kilogram (kg) santan sawit menyamai 4 kg santan biasa.
“Santan sawit juga tidak mudah basi. Rasanya juga tidak jauh beza berbanding santan biasa,” katanya.
Rahimah juga merupakan pemilik gerai Cendol Durian Bamboo River yang cukup terkenal di Sungai Buloh.
Namun, sewaktu tempoh perintah kawalan pergerakan sekitar tahun 2020, dia terpaksa berpindah ke kampung mengikut pekerjaan suami.
Kongsi ibu kepada lapan orang anak itu, masyarakat di Sungai Besar lebih menggemari cendol mangga berbanding cendol durian.
Perkara itu menyebabkan dia terpaksa mengubah strategi jualannya bagi menepati selera penduduk setempat.
Pada hari-hari biasa, Rahimah menggunakan lebih kurang 500 gram mangga susu untuk membuat menu spesialnya itu.
Bilangan itu bertambah sehingga lebih 3 kg bagi menampung permintaan pelanggan yang ramai pada hujung minggu.
Bagi mewujudkan kelainan pada menu pencuci mulutnya, Rahimah menjual cendol durian spesial secara bermusim.
“Dahulu sewaktu buka gerai di Sungai Buloh, saya memang menjual cendol durian, namun disebabkan orang Sungai Besar lebih suka mangga, saya tumpu pada cendol mangga.
“Untuk cendol durian, saya menggunakan durian D24 gred A pada masa-masa tertentu. Cendol durian juga berada dalam seleksi spesial iaitu beserta aiskrim,” ujarnya.
Selain daripada dua cendol spesial tersebut, bekas juruaudit sekolah di Kementerian Pelajaran Malaysia itu turut menawarkan cendol yang lebih ringkas iaitu dengan satu perasa.
Antaranya, cendol biasa, cendol jagung, cendol kacang merah, cendol pulut, cendol aiskrim dan cendol laici.
Selain cendol, pelanggan juga boleh memesan pencuci mulut lain seperti laici kang, pulut mangga, aiskrim pulut serta masakan panas seperti nasi goreng daging.