fbpx

Suspek sindiket dadah maut gantung diri dalam lokap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kok Chin (dua dari kiri) ketika sidang akhbar tangkapan dan rampasan dadah di IPK Pulau Pinang, hari ini. Gambar oleh IQBAL HAMDAN/KOSMO!

GEORGE TOWN – Seorang suspek lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran pelbagai jenis dadah dilaporkan mati di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan (SPS), awal pagi hari ini.

Suspek berusia 40 tahun itu ditemui maut oleh pegawai polis yang bertugas kira-kira pukul 10 pagi tadi selepas dipercayai menggantung diri di jeriji besi lokap berkenaan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, suspek merupakan salah seorang daripada lima lelaki tempatan berusia 35 hingga 58 tahun yang ditahan polis dalam operasi terancang di kawasan Seberang Perai Selatan (SPS), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Kulim di Kedah.

“Suspek yang berasal dari Lunas, Kulim ini ditahan semalam.  Terdapat tiga tahanan dalam lokap yang sama dengan suspek dan mereka didapati tidur ketika kejadian,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Beliau memberitahu, tiada kesan jenayah kecederaan pada suspek dan rakaman menerusi kamera litar tertutup (CCTV) juga menunjukkan yang lelaki itu telah menggantung diri menggunakan baju di jeriji besi lokap.

Dalam pada itu, mengulas kejayaan polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah tersebut, Kok Chin berkata, polis menjalankan empat serbuan dan merampas pelbagai jenis dadah termasuk dadah jenis mushroom bernilai RM116,000 seberat 12.72 kilogram.

“Aktiviti pengedaran dadah sindiket ini bergiat aktif sejak awal 2023. Hasil keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 50,000 atau 50,000 kali penggunaan. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.  – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI