KUALA SELANGOR – Kementerian Pendidikan (KPM) mengadakan sesi libat urus berterusan bagi membuat keputusan konklusif sama ada mengembalikan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) atau sebaliknya.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, sesi pertemuan dan perbincangan dengan semua pihak itu penting bagi menilai keputusan terbaik dalam menentukan hala tuju pendidikan negara.
Jelas beliau, perkara berkaitan dua peperiksaan itu sentiasa ditimbulkan dalam perbincangan menerusi sesi libat urus berkenaan.
“Sebagai contoh, kita sudah selesai konvensyen pentaksiran dan sesi libat urus untuk hala tuju berkaitan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Selain itu, kita baru selesai Konvensyen Pendidikan Islam dan beberapa lagi inisiatif yang akan disegerakan dari segi jawatankuasa kritikal khusus bagi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Perpustakaan Peringatan Siddiq Fadzil Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya di sini, hari ini.
Pada 9 Ogos tahun lalu, KPM kekal dengan keputusan untuk tidak mengembalikan UPSR dan PT3 walaupun terdapat permintaan daripada ibu bapa yang mahu ia dilaksanakan semula.
Dua peperiksaan awam itu dimansuhkan kerana KPM mahu melahirkan modal insan yang mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang dan tidak terhad dalam bidang akademik sahaja.
Fadhlina berkata, perbincangan mengenai perkara itu sentiasa menjadi keutamaan dari semasa ke semasa.
“Justeru, sesi libat urus penting berdasarkan kepada perkembangan pendidikan.
“Namun, kementerian belum membuat sebarang keputusan konklusif mengembalikan dua peperiksaan berkenaan,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE.