PETALING JAYA – “Sejak enam bulan lalu saya lalui kehidupan yang sukar. Saya bercerai dengan isteri (Mizz Nina) dan berebut anak”.
Itu antara perkara yang dilalui penyanyi Noh Salleh apabila mengakui kehidupannya sukar selepas enam bulan berpisah dengan bekas isterinya iaitu penyanyi dan juga aktivis kemanusiaan, Mizz Nina.
Noh atau nama lengkapnya Mohammad Noh Salleh mendedahkan perkara terebut secara tidak langsung ketika menjawab soalan tentang lima lagu Indonesia yang menjadi kegemarannya kepada sebuah portal hiburan Indonesia.
Menerusi senarai lagu pilihan yang diberikan, Noh, 38, menyebut salah satu lagu Indonesia kegemarannya ialah Manusia nyanyian David Bayu.
“Lagu Manusia benar-benar satu refleksi terhadap diri saya. Sejak enam bulan lalu saya melalui kehidupan yang sukar,” ujarnya.
Malah, vokalis kumpulan Hujan itu juga memberitahu, dalam tempoh tersebut, dia juga terpaksa berebut hak penjagaan anak angkatnya dengan bekas isteri iaitu Musa yang kini berusia 2 tahun.
“Saya bercerai dengan isteri, kemudiannya berebut anak. Lagu Manusia seakan kena dengan diri saya sebagai seorang manusia yang melalui detik sukar dalam hidup,” katanya.
Sejak mengumumkan perceraiannya pada Ogos lalu, Noh tidak pernah mengulas mengenai perkara tersebut, malah cuba mengelak daripada ditemu bual media walaupun selepas beberapa kali menjayakan konsert bersama Hujan.
Noh mendirikan rumah tangga bersama Mizz Nina pada 2 Julai 2011 dan mengumumkan perceraian mereka pada 4 Ogos tahun lalu.
Hasil perkongsian hidup selama 11 tahun, Noh dan Nina tidak dikurniakan cahaya mata, namun mengambil seorang anak angkat lelaki yang diberi nama Musa.
Pada Mei lalu, Noh mengumumkan telah selamat mengikat tali pertunangan dengan Fatin Athira Mustapa yang juga merupakan seorang peguam dalam satu majlis yang diadakan di kediaman keluarga wanita pilihannya itu di Putra Heights, Subang Jaya.
Difahamkan, majlis pernikahan mereka bakal diadakan pada 23 September ini.
Nina atau Shazrina Azman, 40, telah selamat bergelar isteri buat kali kedua apabila menikah dengan penyanyi rap Amerika Syarikat dikenali sebagai Essam Muhammad baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE