PETALING JAYA – Ramai dalam kalangan rakyat Malaysia dilihat agak lewat membuat perancangan persaraan mereka, berdasarkan laporan Tinjauan Persaraan Etiqa 2023 yang diterbitkan semalam.
Kajian melibatkan 804 responden di setiap negeri di Malaysia, yang dilaksanakan susulan Tinjauan Persaraan Etiqa Singapura 2022 itu bertujuan untuk memahami persiapan, perancangan dan harapan persaraan dalam kalangan rakyat Singapura dan juga di Malaysia.
Antara penemuan utama tinjauan tersebut adalah hanya 23 peratus rakyat Malaysia beranggapan bahawa mereka dapat bersara dengan selesa.
Ia turut mendapati 46 peratus daripada rakyat Malaysia hanya mula merancang persaraan mereka di usia emas pada 55 tahun ke atas, iaitu hanya lima tahun sebelum umur persaraan semasa di negara ini.
Keadaan ini jauh berbeza dengan situasi di Singapura yang mana 51 peratus penduduk Singapura memulakan perancangan persaraan mereka seawal usia 34 tahun, sementara hanya 12 peratus rakyat Malaysia memulakan perancangan persaraan mereka di kumpulan usia yang sama.
Ketua Eksekutif Kumpulan Etiqa Insurans dan Takaful, Kamaludin Ahmad berkata, kajian tersebut merungkai sebuah kebenaran membimbangkan, yang mana rakyat Malaysia bersikap terlalu selesa apabila sebahagian besar mereka tidak membuat perancangan kewangan seawal mungkin.
“Rakyat Malaysia perlu diberikan lebih banyak ilmu perancangan kewangan untuk mereka bersara dengan selesa.
“Sebagai contoh, jika seseorang beranggapan dengan menyimpan sehingga RM600,000 sebagai dana persaraan mereka sudah cukup untuk menampung bil perubatan, keperluan harian, kecemasan dan hal lain, mereka mungkin akan terkesima ketika mengetahui dana simpanan mereka mungkin tidak mencukupi.
“Pelan perlindungan insurans dan takaful yang memberikan perlindungan untuk penyakit kritikal, perlindungan perubatan dan kemalangan diri amat penting untuk mengurangkan impak terhadap dana simpanan semasa menghadapi musibah di masa depan dan ia sepatutnya menjadi keutamaan bagi setiap individu,” jelasnya. -KOSMO!ONLINE