SEBERANG PERAI – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia menawarkan khidmat kaunseling kepada keluarga kanak-kanak berusia sembilan tahun yang maut akibat dicekik abang kandungnya di Kampung Bukit Piatu, Melaka semalam.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya mempunyai kaunselor bertauliah sekiranya khidmat tersebut diperlukan, namun terpulang sama ada mereka mahu menerima tawaran berkenaan atau menghubungi sendiri Talian Kasih KPWKM.
“Kalau mengikut ‘bacaan’ kita, mereka mungkin menggunakan cara yang lain (selain kaunseling). Ikut kepercayaan masing-masinglah. Kita tak dapat pergi ke setiap rumah (yang bermasalah) dan kata ‘saya nak bagi kaunseling.
“Jadi, kita cuma tawarkan perkhidmatan kita dan terpulang kepada mereka (untuk menerima atau tidak),” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jerayawara Kasih KPWKM @Advokasi Antigangguan Seksual di Dewan Milenium, Kepala Batas di sini petang tadi.
Nancy berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian menyayat hati itu yang hanya diketahui oleh ibu mereka menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah keluarga berkenaan.
Dalam pada itu, menurut polis, suspek yang direman mulai hari ini bagaimanapun dikesan tidak memiliki sebarang rekod disiplin ketika di sekolah. – KOSMO! ONLINE