fbpx

PRN: Kelantan sedia bas percuma bawa balik siswa, siswi mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KOTA BHARU – Pejabat Menteri Besar Kelantan menyediakan perkhidmatan pengangkutan bas secara percuma untuk pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTS) di seluruh negara untuk pulang mengundi pada 12 Ogos depan.

Pejabat Menteri Besar Kelantan dalam satu kenyataan berkata, kerajaan negeri melalui Persidangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Bilangan 13/2023 pada 21 Jun lalu telah membuat ketetapan akan menyediakan perkhidmatan bas kepada pelajar sempena Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurutnya, perkhidmatan itu diuruskan oleh satu Jawatankuasa Khas yang diketuai oleh Pejabat Perbendaharaan Negeri Kelantan dan Pejabat Pembangunan Negeri.

“Tarikh bagi perjalanan balik (ke Kelantan) bermula 6 hingga 11 Ogos manakala tarikh kembali ke destinasi asal pula pada 13 hingga 15 Ogos.

“Penglibatan mahasiswa dan mahasiswi sebagai pemilih dalam pilihan raya memberi impak yang sangat besar dalam membina negara melalui pentas demokrasi. Justeru, hak mereka sebagai pemilih tidak boleh dinafikan hanya disebabkan tekanan ekonomi dan kos sara hidup,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kos perkhidmatan pengangkutan dijangka akan meningkat dan terhad disebabkan permintaan yang tinggi sewaktu musim PRN sekali gus membebankan mahasiswa, mahasiswi dan ibu bapa.

Katanya, golongan pelajar IPTA dan IPTS bebas menggunakan hak mereka untuk memilih calon atau parti politik yang bertanding tanpa terikat dengan sebarang syarat.

“Kerajaan negeri Kelantan menyedari kepentingan mahasiswa dan mahasiswi dalam menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih demi masa depan negara.

“Semoga perkhidmatan bas yang disediakan dapat membantu meringankan beban mahasiswa, mahasiswi dan ibu bapa,” katanya.

Tambah kenyataan itu, keterangan lanjut berhubung perkhidmatan bas untuk pelajar, sila hubungi Pejabat Pembangunan Negeri di talian 09-748 1180. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI