SUNGAI PETANI – Pendapatan 14 pengusaha bot penambang Pantai Merdeka-Tanjung Dawai semakin merosot berikutan bilangan pengunjung ke kawasan peranginan itu berkurangan sejak awal tahun ini.
Tinjauan di tempat menunggu bot di Jeti Pantai Merdeka, Kota Kuala Muda semalam mendapati, kawasan itu sunyi selain bot juga tidak beroperasi.
Setiausaha Persatuan Bot Penambang Pantai Merdeka-Tanjung Dawai, Shazril Azwan Rosley berkata, kekurangan pengunjung sejak kebelakangan ini menyebabkan kebanyakan pengusaha bot tidak lagi beroperasi pada hari biasa.
Operasi bot penambang bagaimanapun akan kembali ‘bernafas’ pada hujung minggu, cuti umum dan cuti sekolah.
“Pendapatan kami pada waktu cuti juga merosot sehingga 50 peratus menyebabkan ada yang terpaksa membuat pekerjaan lain bagi menampung hidup.
“Jika dahulu pendapatan kami pada hujung minggu mencecah RM900 sehari, namun sekarang hanya RM300 hingga RM400 sehari,” katanya ketika ditemui.
Menurut Shazril, situasi itu berlaku mungkin disebabkan peningkatan kos sara hidup menyebabkan orang ramai berjimat cermat selain cuti sekolah yang rapat dan sambutan hari raya.
Jelasnya, selain perkhidmatan bot pergi dan balik Pantai Merdeka ke Tanjung Dawai dengan tambang RM3 sehala, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan bot melawat pulau-pulau berdekatan dengan caj RM100 hingga RM600.
“Kadar tambang ini tidak pernah naik sejak 10 tahun lalu meskipun kos operasi meningkat saban tahun,” katanya.
Sementara itu, pengunjung, Mohd. Azlan Yahaya, 35, berkata, perkhidmatan bot penambang memudahkan pelancong untuk ke Pantai Merdeka atau Tanjung Dawai kerana jaraknya lebih dekat berbanding jalan darat.
“Saya harap kerajaan dapat mempromosi kawasan ini agar dapat menarik ramai pelancong serta menyediakan kemudahan jeti di Pantai Merdeka,” ujarnya.