GUA MUSANG – Selepas berputih mata apabila tanaman pisang dimusnahkan gajah lima tahun lalu, seorang lelaki Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Redip, Pos Hau di sini kembali bangkit menjana pendapatan dengan mengusahakan kebun ubi keledek.
Razali Ayeh, 48, tidak menyangka usahanya dengan menyertai kursus pertanian anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Jabatan Pertanian dapat mengubah hidup apabila hasil ubi kayu keledek kini menjadi antara punca pendapatan.
Razali yang mengusahakan 4,000 pokok keledek kuning dan ungu sejak tiga bulan lalu dijangka memungut hasil sebanyak satu tan bagi satu musim penanaman.
Menurutnya, setakat ini, dia sudah menjual sebanyak 300 kilogram ubi keledek untuk peringkat awal.
Katanya, setakat ini, permintaan terhadap ubi keledek tinggi terutamanya daripada orang ramai termasuk Orang Asli apabila dia turut mempromosikan melalui media sosial TikTok dan Facebook.
“Saya menanam ubi keledek di kawasan tanah seluas tidak sampai 0.4 hektar. Selepas dua bulan lebih mengusahakannya, tanaman keledek sudah mengeluarkan hasil,” katanya.
Razali memberitahu, sebelum ini, dia sering berdepan dengan kegagalan apabila kebun pisang yang diusahakan sejak tahun 2018 dimusnahkan gajah liar.
Jelasnya, ubi keledeknya dijual pada harga RM5 untuk sekilogram.