SAINGAN Tour de France 2023 akan melalui laluan Pyrenees tinggi pada peringkat kelima hari ini.
Selepas saingan dua laluan berbukit di Basque Country, Sepanyol dan dua jalan rata di Basque Country, Perancis, pesaing jersi kuning yang serius akan diketengahkan dalam tempoh dua hari akan datang.
Berdasarkan keputusan tersebut, peminat TdF mungkin akan mampu meramalkan mengenai pelumba yang bakal dimahkotakan pada tahun ini.
Pyrenees akan melibatkan laluan sejauh 163 kilometer (km) dengan bermula di laluan rata sejauh 70km dari Pau ke Laruns, namun kemudian menghadirkan laluan pendakian kategori hors pertama iaitu di Col du Soudet (15.2km pada 7.2 peratus).
Ia menjadi laluan yang panjang dan meletihkan ke puncak dan boleh dijangka ramai pelumba akan gagal di laluan berkenaan apabila para pelumba elit meningkatkan rentak masing-masing.
Pemenang jersi kuning, Adam Yates memberitahu, dia menyifatkan perlumbaan Col du Soudet sebagai ‘full gas’ yang memerlukan stamina tinggi antara pesaing utama, meskipun prospek lebih hebat pada gergasi Col du Tourmalet keesokannya.
Ini bermakna juara dua kali TdF, Tadej Pogacar yang masih memburu kemenangan pertama selepas diturunkan daripada takhta musim lepas dan juara bertahan, Jonas Vingegaard berkemungkinan akan berdepan satu sama lain dalam beberapa serangan di pentas laluan terbabit.
Mereka mungkin tidak berada di hadapan, namun pelumba Amerika Syarikat, Neilson Powless melaungkan cabaran untuk memenangi jersi polka dot dan berazam untuk mendahului saingan bagi mengumpul banyak mata sebagai ‘Raja Gunung’ sebagai koleksi awalnya.