fbpx

Mahkamah: Bekas pekerja jualan kereta didakwa tipu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Salleh ketika dibawa ke Mahkamah Majistret hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pekerja sebuah syarikat jualan kereta didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menipu tiga individu sebanyak RM37,977 dalam transaksi jual beli kereta.

Bagaimanapun, tertuduh Muhammad Salleh Masron, 40, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S. Mageswary dan Nurul Izzah Shaharuddin.

Di hadapan Majistret Mageswary, lelaki itu didakwa atas dua pertuduhan, iaitu menipu dua wanita berusia 22 dan 34 tahun dalam urusan pembelian sebuah Perodua Myvi dan Axia masing-masing pada 8 Februari dan 11 Mei lalu.

Kedua-dua mangsa telah menyerahkan wang berjumlah RM23,000 kepada tertuduh di sebuah premis di Kampung Baru di sini yang mana pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Sementara di hadapan Majistret Nurul Izzah, Muhammad Salleh didakwa melakukan kesalahan serupa dengan memperdayakan seorang lelaki berusia 54 tahun dalam urusan jual beli dua kereta terdiri daripada model sama sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM14,977 kepada tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Institut Jantung Negara, (IJN) di Jalan Tun Razak di sini pada 18 Ogos 2022, dan dituduh mengikut seksyen dan kanun yang sama .

Muhammad Salleh turut berdepan pertuduhan pilihan memperdayakan lelaki sama berhubung perkara sama pada tarikh dan lokasi sama mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan-timbalam Pendakwa Raya Wardah Nasuha Safian dan Wan Nurul Amalina Abu Hanifah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 14 Ogos ini bagi sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI