KUALA LUMPUR – Inisiatif Payung Rahmah yang dimulakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengurang beban rakyat terus mendapat sambutan dengan penyertaan baharu daripada Jaya Grocer bersama Grab Malaysia.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kehadiran jenama besar tersebut sekali gus memperbetulkan ‘mimpi ngeri’ beliau terhadap inisiatif yang dilaksanakan tersebut akan berakhir.
“Saya tidak menduga ada lagi syarikat mahu dan terus beri sokongan dan sokongan kepada usaha KPDN. Maklumlah, inisiatif Payung Rahmah ini tidak memberi apa-apa geran dan peruntukan khusus kepada mana-mana pihak yang menyertai.
“Ini juga akan menguatkan lagi KPDN untuk bekerja lebih kuat dan akan terus menyantuni masyarakat dalam setiap segmen di bawah Payung Rahmah.
“Pemain industri ini tampil membantu untuk kita sama-sama mendepani isu kos sara hidup selain membantu mereka yang terkesan akibat kenaikan harga barangan asas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran Inisiatif Payung Rahmah bersama Jaya Grocer dan Grab Malaysia di Jaya Grocer, KL East Mall di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Jaya Grocer dan Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo.
Katanya, biarpun pelancaran tersebut dilaksanakan di pusat belah-belah itu yang disifatkan ‘high-end’, ia membuktikan Inisiatif Payung Rahmah adalah untuk semua masyarakat. – KOSMO! ONLINE.