SEPANG – Seramai 280 orang jemaah haji Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini kira-kira pukul 9.45 malam tadi.
Ketibaan mereka disambut oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman di balai ketibaan terminal 1 KLIA.
Syed Hamadah berkata, mereka merupakan kumpulan pertama jemaah tanah air yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di Jeddah, Arab Saudi pagi semalam.
“Kami amat bersyukur kerana operasi musim haji tahun 1444 pada kali ini berjalan dengan cukup baik tanpa ada sebarang musibah yang berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Kumpulan sulung itu berlepas ke Tanah Suci pada 21 Mei lalu dengan transit di KLIA dari balai berlepas Tabung Haji masing-masing Alor Setar, Kedah dan Kota Bharu, Kelantan.
Mengulas lanjut, Syed Hamadah turut merakamkan penghargaan kepada ahli keluarga jemaah terbabit serta rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan keselamatan mereka.
Operasi kali ini ujarnya, disokong pelbagai agensi kerajaan, badan korporat dan individu seperti Sahabat Maktab yang merupakan sukarelawan dari kalangan jemaah.
“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan Arab Saudi terutamanya Kementerian Haji dan Umrah negara itu mengambil pelbagai usaha proaktif,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.