BERA – Keluarga Allahyarhamah Maryaton Othman, 41, yang maut digilis lori di Kilometer 28 Jalan Temerloh-Bahau, di sini kelmarin mahu menuntut keadilan di atas kejadian yang menimpa mangsa.
Kakak mangsa, Maryana Othman, 43 berkata, kejadian kemalangan yang mengorbankan adiknya itu menyebabkan dua orang anak mangsa yang berumur 15 dan empat tahun hilang tempat bergantung.
“Saya dan Su (panggilan mesra mangsa) dalam perjalanan ke arah Bandar Bera pada ketika itu dan kami naik motosikal berasingan yang mana Su sudah berada di hadapan.
“Tetapi apabila sampai di lokasi kejadian, saya tengok dia digesel lori. Saya memang tak sempat buat apa-apa dan pada ketika itu, hanya mampu meraung melihat keadaan dia,”katanya di sini hari ini.
Semalam Kosmo! melaporkan seorang wanita maut digilis sebuah lori, manakala anaknya cedera selepas motosikal dinaiki mereka bergesel dengan lori berkenaan di Kilometer 28 Jalan Temerloh-Bahau di sini semalam.
Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan lengan.
Sementara itu, anak saudara mangsa, Liyanna Mohd Jamal, 24, berkata, dia berharap apa yang berlaku terhadap ibu saudaranya itu mendapat pembelaan sewajarnya lebih-lebih lagi apabila rakaman CCTV berkaitan kemalangan itu tersebar di media sosial.
Katanya, semasa dia ke Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) untuk membuat laporan, dia telah berjumpa dengan pemandu lori terbabit dan telag menunjukkan rakaman tersebut.
“Sebelum itu dia (pemandu lori) berulang kali meminta maaf atas kejadian itu dan kerap mengatakan ibu Su yang memotong di sebelah kiri.
“Tetapi bila saya tunjuk video rakaman CCTV itu pada dia, dia terdiam tak kata apa-apa dan tidak lama selepas itu, dia terus menghilangkan diri,”katanya.-KOSMO! ONLINE.