fbpx

JKKMAR setuju isytihar harta anggota pentadbiran dikuatkuasa semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) bersetuju supaya pengisytiharan harta oleh anggota pentadbiran dikuatkuasakan semula setelah format baharu yang lebih komprehensif bagi pelaporan pengisytiharan harta ditambah baik.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, mesyuarat JKKMAR Siri 17 Bil. 1 2023 hari ini yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi fokus kepada syor penambahbaikan tata kelola yang lebih holistik.

Menurut kenyataan itu, langkah tersebut penting untuk mempertingkat kebertanggungjawaban, ketelusan, kecekapan dan keberkesanan sistem pentadbiran kerajaan.

“Justeru, ekosistem tata kelola baik negara akan diperkukuh melalui Pelan Tadbir Urus Baik Nasional (MyGovernance) sebagai panduan sektor awam berhubung pelaksanaan prinsip-prinsip tadbir urus baik.

“Indeks Governans Malaysia akan dijadikan mekanisme pengukuran tahap tata kelola baik di negara ini, manakala kajian pengwujudan Akta Tata Kelola akan dilaksanakan bagi memastikan amalan tata kelola baik yang berkesan,” kata kenyataan itu hari ini.

Tambah kenyataan itu, mesyuarat tersebut turut bersetuju supaya Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dibentangkan secara berkala di Mesyuarat Jemaah Menteri untuk tindakan susulan yang segera bermula dengan LKAN tahun 2022 dengan format baharu lebih berstruktur supaya setiap isu dilaporkan dapat diambil tindakan lebih berkesan.

“Peranan jawatankuasa ini juga akan diperkasa dan dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional (JKKTN) yang akan dijadikan platform bagi menggalakkan amalan prinsip tata kelola baik supaya diambil kira dalam perancangan dan pembangunan dasar serta pelaksanaan inisiatif dan program oleh semua agensi di sektor awam.

“JKKTN juga akan diperkasa untuk meneliti isu-isu kelemahan tata kelola melibatkan Badan Berkanun termasuk Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), subsidiari dan entiti yang mempunyai kepentingan kerajaan.

“Had bilangan lembaga pengarah yang boleh dianggotai oleh seseorang penjawat awam melibatkan badan berkanun, subsidiari dan entiti yang mempunyai kepentingan jerajaan juga akan dikaji semula bagi meningkatkan keberkesanan peranan penjawat awam dalam lembaga pengarah,” ujarnya.

Selain itu, mesyuarat berkenaan membincangkan status pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 serta hala tuju pemerkasaan inisiatif-inisiatif antirasuah selaras dengan Perkara 5 dalam United Nations Convention Against Corruption (UNCAC).

Jelasnya, kerajaan bersetuju untuk meneruskan kesinambungan NACP dengan satu strategi baharu di peringkat nasional yang dikenali sebagai Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS).

Dalam pada itu, kerajaan memandang serius berhubung isu pengeluaran surat sokongan yang mempunyai unsur rasuah dan salah guna kuasa sehingga menjejaskan imej pentadbiran kerajaan.

Dengan itu, satu Garis Panduan Pengendalian Sokongan oleh Anggota Pentadbiran dalam Urusan Kerajaan akan dikeluarkan bagi memastikan surat sokongan tidak disalahguna bagi tujuan kepentingan peribadi.

“Mesyuarat turut bersetuju secara prinsip dengan cadangan penambahbaikan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) bagi memastikan saluran aduan yang lebih diyakini dan berkesan.

“Kerajaan komited untuk melaksanakan agenda pemerkasaan tata kelola sebaik mungkin bagi menyokong pembangunan negara dan memastikan setiap usaha kerajaan adalah bebas daripada sebarang unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa,” jelas kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI