fbpx

Hati-hati beriadah di lokasi berisiko berlaku kepala air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

AKTIVITI riadah luar perkhemahan di kawasan alam semula jadi semakin popular dalam kalangan masyarakat negara ini sejak a­khir-akhir ini.

Perkhemahan bersama keluarga atau rakan menjadi salah satu terapi penyembuhan diri (self healing) bagi meredakan ketegangan kehidupan seharian.

Kawasan pinggir hutan, kaki bukit, tebing sungai, jeram dan air terjun serta lembah menjadi antara destinasi popular aktiviti perkhemahan tersebut.

Itulah yang dilakukan pengendali jentera berat, Karim Abdullah, 39, bersama lapan ahli keluarga dan seorang bakal menantu dari Felda Lepar Hilir, Gambang, Pahang yang berkhemah di Je­ram Mawar, Air Putih, Kemaman, Terengganu pada 1 Julai lalu.

Takdir menentukan mereka yang tiba di kawasan jeram tersebut pada pukul 2 petang menjadi mangsa kejadian kepala air kira-kira tiga jam kemudian.

Musibah bencana alam tersebut berlaku setelah hampir tujuh bulan selepas kejadian tanah runtuh meragut 31 nyawa di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor pada 16 Disember tahun lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, dua tragedi bencana alam itu perlu menjadi pengajaran buat pencinta aktiviti riadah luar.

Beliau berkata, kawasan riadah luar itu seperti kawasan je­ram memiliki risiko tersediri kerana amat terdedah dengan kemungkinan bencana alam se­perti kepala air ekoran perubahan cuaca masa kini.

“Dalam kita berseronok menghayati keindahan alam semulajadi, aspek keselamatan perlu sentiasa dititikberatkan.

“Sentiasa waspada dengan perhatikan sebarang tanda-tanda awal yang biasanya muncul sebelum kejadian kepala air berlaku bagi membolehkan kita sempat menyelamatkan diri,” katanya kepada Kosmo! kelmarin.

Mazli berkata, antara petanda yang perlu diambil perhatian ialah perubahan warna, paras dan kederasan air di kawasan sungai berkenaan.

Tambahnya, kehadiran puing-puing dan sampah sarap dalam kuantiti banyak secara tiba-tiba juga petanda kepala air.

“Dirikan khemah di tebing tinggi dan selamat bukannya di dalam lembangan sungai agar kita masih boleh menyelamatkan diri sekiranya berlaku kepala air.

“Pada tempoh ini bukanlah masa sesuai untuk mengunjungi kawasan riadah di Terengganu berikutan impak angin baratan yang membawa angin kencang dan hujan lebat,” katanya

Sementara itu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Azman Alias pula mengakui kesukaran melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa kepala air Jeram Mawar terbabit ekoran litupan telekomunikasi yang terhad.

Ujarnya, lokasi kejadian yang terpencil di pinggir Hutan Simpan Bukit Banun, Hulu Kemaman sukar akses biarpun dengan perkhidmatan radio amatur.

“Bagi saya sudah tiba masanya lokasi perkelahan yang banyak terdapat di Hulu Kemaman dan Hulu Dungun ini dilengkapi litupan telekomunikasi asas.

“Saya faham mungkin agak kurang ekonomik memasang menara atau pencawang telekomunikasi di kawasan terbabit yang terletak di pinggir hutan dan kurang penghuni, namun ia semakin menjadi tumpuan sejak akhir-akhir ini,” katanya.

Tambahnya, selain melancarkan operasi mencari dan menyelamat, litupan telekomunikasi­ juga memudahkan pengunjung meminta bantuan jika berlaku kecemasan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI