SEBERANG PERAI – Seorang lelaki dari Kota Aur, Kepala Batas, di sini buntu memikirkan kos bagi membiayai keperluan ibunya yang menghidap kanser limfoma tahap empat.
Amree Ahamad, 47, yang bekerja sebagai wawtawan sambilan berkata, ekoran tidak mempunyai pendapatan tetap, dia dan kakak sulung, Amalina Ahamad, 48, terpaksa menggunakan wang simpanan bagi menampung keperluan harian ibunya, Rosiah Wahab, 73 yang kini terlantar di rumah.
“Disebabkan keadaan ibu yang kini tidak mampu menguruskan diri, kami perlu memberi lebih perhatian kepadanya, selain perlu mengeluarkan perbelanjaan sendiri dari tabungan untuk membeli barangan keperluan seperti lampin pakai buang, susu khas, tisu basah serta lain-lain keperluan.
“Malah, sudah hampir sebulan saya di kampung dan tidak bekerja kerana perlu memberi perhatian sepenuhnya kepada ibu.
“Kakak pula merupakan ibu tunggal dan berniaga kecil-kecilan sahaja. Jadi, pada masa yang sama, saya berasa gusar memikirkan wang simpanan semakin susut disebabkan tidak mempunyai sumber pendapatan lain,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di kediaman ibunya di sini baru-baru ini.
Dia yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik memberitahu, kesihatan ibunya semakin merosot selepas terjatuh di rumah sebelum Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.
“Selepas mendapat tahu mengenai ibu terjatuh daripada kakak, saya bergegas pulang kerana risaukan keadaannya,” katanya yang juga baru kehilangan bapanya, Ahamad Khalid, 73, pada Khamis lalu.
Kata bapa kepada seorang cahaya mata itu, dia bercadang untuk membawa ibunya tinggal bersama anak dan isterinya di kediaman mereka di Bangi, Selangor dalam masa terdekat agar kebajikan ibunya lebih terjaga.
“Apabila berada di sana (Bangi) sekurang-kurangnya isteri dan anak boleh tengokkan ibu sementara saya keluar bekerja.
“Memang berat keputusan ini, namun saya rasa ia yang terbaik untuk kami sekeluarga,” katanya.
“Saya anggap ini ujian dan reda dengan ketentuan-Nya. Sekurang-kurangnya kami dapat menjalankan tanggungjawab sebagai anak sebelum ibu menutup mata,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank milik Amree 162263746455 atau menghubunginya di talian 011-52212127.