PASIR MAS – Seorang buruh kampung maut dalam keadaan tragis apabila kepalanya hancur selepas digilis tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Kampung Tanjung, Bunut Susu di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, mangsa, Mohammad Aqil Irfan Hizuan, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala, tangan dan kaki.
Bapa mangsa, Hizuan Jusoh, 52, berkata, dia mengetahui kejadian yang menimpa anak ketiga daripada lima beradik itu selepas dimaklumkan oleh adik iparnya, Aiman Abd. Rashid, 20, sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, dia pada awalnya melihat keadaan kaki anaknya berlumuran dadah dan sempat memapahnya keluar dari landasan kereta api.
“Saya kemudiannya terkejut apabila mendapati kepala Mohammad Aqil Irfan hancur akibat digilis kereta api manakala tangannya pula luka.
“Pakaiannya ketika itu juga sedikit basah dan sejuk seperti kesan embun. Saya tidak tahu motif dia pergi ke kawasan landasan kereta api itu pada waktu pagi,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Hizuan memberitahu, kali terakhir dia menemui anaknya itu pada pagi kelmarin ketika mangsa pulang ke rumah untuk bertemu abangnya, Mohammad Zuhairi, 28, yang akan berangkat ke Johor hari ini selepas bercuti sempena Hari Raya Aidiladha.
Katanya, Mohammad Aqil Irfan tinggal di rumah neneknya yang terletak kira-kira 400 meter dari lokasi kejadian sejak dia berusia 15 tahun.
“Semasa dia pulang ke rumah, saya tidak sempat berbual panjang dengannya. Saya lihat dia sihat dan ceria sama seperti sebelum ini malah tiada sebarang tanda menunjukkan dia mengalami masalah kesihatan.
“Saya difahamkan, Mohammad Aqil Irfan ada menghantar WhatsApp dan meminta maaf kepada abangnya kerana tidak sempat bersua muka sebelum bertolak ke Johor,” katanya.- KOSMO! ONLINE.