HULU SELANGOR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Batang Kali, berhampiran Desa Alam Ria, di sini, malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian pada pukul 7.15 malam.
Menurutnya, seramai enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Berdasarkan laporan awal, mangsa, Ahmad Ammar Akhtar Tajul Azwa berusia tujuh tahun jatuh ke dalam sungai.
“Operasi dilakukan anggota bertugas menggunakan teknik ‘water surface’ di laluan sungai dengan anggaran satu kilometer dari kawasan kejadian,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Mohamadul Ehsan berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bagaimanapun ditangguhkan pada pukul 11.30 malam tadi. -KOSMO! ONLINE.