NUANSA lakonan dicetuskan Lily-Rose Depp sebagai ‘superstar’ bernama Jocelyn dalam siri The Idol, mungkin boleh diibaratkan sebagai, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
Buat pengetahuan semua yang membaca ulasan ini, Lily merupakan anak kepada aktor ternama Hollywood, Johnny Depp.
The Idol yang dipertontonkan menerusi HBO sebanyak lima episod merungkai beberapa perkara, paling utama menyerlahkan betapa hebat bakat seni lakonan Lily sama seperti bapanya.
Kualiti ‘seorang’ Depp
Dia seorang pelakon yang sanggup berbuat apa sahaja demi menterjemahkan tugasan yang diberikan penerbit atau pengarah.
Mengapa sepotong ayat tersebut ditujukan buat Lily? Jawapannya ada dengan menonton siri The Idol yang baru sahaja melabuhkan tirai beberapa hari lalu dengan peluncuran episod terakhirnya.
Jocelyn, karakter yang sangat ‘disturbed’ (mengganggu), namun sangat nyata.
Dari perspektif penonton yang berminda terbuka, Jocelyn satu terjemahan watak yang sangat berkesan dalam The Idol. Namun, itu hanyalah pendapat peribadi penulis.
Malangnya, elemen penting The Idol lain seperti plot penceritaan, skrip dan pengarahan tidak dicerna dengan sebaik-baik kualiti.
Konten seksual atau yang bersifat erotik dalam The Idol sangatlah tidak ‘sihat’ dan barangkali, tidak wajar di jadikan tontonan, melainkan mata yang melihat terdiri daripada kalangan yang berlapang dada.
Dari segi naratif, penulis tidak pasti, ke mana arah tuju kisah yang dipaparkan dalam The Idol.
Apa yang pasti, seorang penyanyi yang hilang arah tuju dalam karier selepas kematian ibu dan di situlah, Tedros (lakonan The Weeknd atau Abel Tesfaye) ‘masuk daun’ dan cuba mengawal segala-galanya.
Segala-galanya bermaksud cara Jocelyn berfikir, bikin muzik, hubungan dengan rakan-rakan dan sebagainya. Senang cerita, dia diindoktrinasi atau ‘brainwashed’ oleh lelaki bernama Tedros.
Jennie Blackpink juga mendarat dalam dunia lakonan menerusi siri ini. Hasilnya? Entahlah, kerana penglibatan Jenny seperti hidup segan mati tidak mahu atau terlalu minimal dalam filem ini.
Alangkah seronoknya andai perseteruan antara watak dimainkan Jennie iaitu Dyanne dan Jocelyn dijadikan titik fokal.
Abel, teruskan buat muzik
Ini tidak, kisah Tedros dengan Jocelyn yang dijadikan tumpuan. Hasilnya, memang sedikit mengecewakan, terutama lakonan Abel yang kadang-kadang seperti sedikit janggal.
Abel atau The Weeknd memang antara pemuzik terhebat dunia era ini, namun dari segi lakonan? Dia semestinya harus kekal sahaja dalam dunia muzik.
Tedros terjemahannya sangat tidak meninggalkan dampak.
The Idol kini boleh distrim atau ditonton menerusi HBO Max (jika ingin lihat babak yang tidak dipotong).
Sebuah kisah A Star Is Born yang separuh masak, terlalu diracun dengan unsur seksual dan tiada arah tuju yang sebenar-benarnya.
Sayang kerana kisah ini datang daripada kelompok yang pernah menghadirkan fenomena drama bersiri terbitan HBO juga, Euphoria.
Kendatipun, sinematografi dan reka produksi dalam The Idol wajar menerima pujian.