fbpx

3 lelaki didenda miliki senjata api buatan sendiri tanpa lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara tiga lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini atas kesalahan memiliki senjata api buatan sendiri tanpa lesen. - FOTO- NOR AINNA HAMZAH/KOSMO!

KUALA PILAH – Tiga lelaki didenda selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan memiliki senjata api buatan sendiri pada bulan lalu.

Tertuduh, Mohammad Sakiran Zainal, 34, Heary Jaafar, 41, dan Mohd Ramddan Mohd Nor, 41, membuat pengakuan itu secara berasingan di hadapan Hakim Norma Ismail.

Hakim menjatuhi hukuman denda RM4,500 ke atas Mohammad Sakiran dan enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Bagi Heary dan Mohd Ramddan, hakim menjatuhi hukuman denda RM3,000 dan lima bulan penjara jika gagal menjelaskan denda. Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashim memohon hukuman setimpal.

Beliau memohon mahkamah untuk mempertimbangkan risiko terhadap keselamatan orang awam sekiranya senjata tersebut disalahgunakan.

Mohammad Sakiran, pada pukul 6.30 pagi, 26 Jun lalu di Kampung Gemencheh Ulu, Air Mawang, Johol didapati memiliki dua laras senapang patah buatan sendiri dan senapang angin jenama Sharp Tiger tanpa lesen.

Bagi pertuduhan Heary, pada pukul 6.30 petang, 26 Jun lalu di Kampung Eyor, Air Mawang didapati memiliki pistol angin tanpa lesen. Senjata itu diletakkan dalam bekas plastik warna kelabu di ruang tamu rumah.

Bagi Mohd Ramddan, pada 27 Jun, kira-kira pukul 6 petang di Kampung Gemencheh Ulu, Air Mawang telah didapati memiliki satu laras senapang angin jenama “R-Canon Super Model 737 Cal 177” tanpa lesen.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI