fbpx

Tahap IQ manusia semakin berkurang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saiz otak manusia moden didakwa semakin mengecil kerana diet pemakanan yang diamalkan. - Getty Images

LONDON – Seorang pakar di Britain memberi amaran bahawa tahap kecerdasan otak (IQ) manusia semakin berkurang sejak 50 tahun lalu selain saiznya kian mengecil disebabkan diet pemakanan tidak seimbang, lapor akhbar Daily Star kelmarin.

Pengarah Institut Kimia Otak dan Pemakanan Manusia Britain, Profesor Michael Crawford berkata, penurunan kadar IQ berisiko mencetuskan situasi berbahaya sehingga mampu membawa malapetaka kepada umat manusia.

Menurut beliau, keadaan itu berlaku sebahagian besarnya akibat kegagalan manusia untuk makan minyak ikan yang mencukupi. 

“IQ manusia telah berkurang sejak 1970 dan ia bukan sesuatu yang lucu kerana jika berterusan, ia berisiko membawa malapetaka besar-besaran.

“Penyebab kepada keadaan ini adalah kepentingan zat makanan yang tidak diberi perhatian,” katanya dalam satu webinar anjuran Yayasan Makanan untuk Otak di Britain baru-baru ini.

Tambah Crawford, tidak ada kerajaan yang mempunyai sebarang cadangan bernas berkenaan otak manusia kerana ia adalah berkaitan pertumbuhan badan manusia.

Menurutnya, saiz otak manusia moden secara purata kini sekitar 17 peratus lebih kecil berbanding organ ketika zaman nenek moyang dahulu.

“Bukan sekadar IQ yang berkurang, bahkan terdapat bukti yang sangat baik tentang pengecutan saiz otak. 

“Apa yang dipertaruhkan adalah masa depan anak-anak kita dan anak-anak mereka,” jelasnya.

Satu kajian berskala besar yang dijalankan oleh institut tersebut di Indonesia mendapati hampir dua juta kanak-kanak mengalami masalah perkembangan mental, namun keadaan tersebut tidak berlaku di perkampungan nelayan.

Crawford berkata, ia membuktikan bahawa adalah penting untuk wanita mengekalkan diet marin yang kaya dengan omega-3, yang boleh membantu perkembangan otak bayi menerusi susu ibu. 

Omega-3 tidak dapat dihasilkan oleh tubuh manusia dan mesti diambil dalam diet harian. Secara amnya, omega-3 banyak memberi kebaikan kepada kesihatan seperti mengurangkan risiko penyakit jantung, mencegah kemurungan serta mampu mencegah beberapa jenis kanser.

Ia juga boleh didapati daripada pelbagai sumber sama ada  haiwan atau tumbuhan, namun omega-3 paling kaya dalam sumber ikan laut dalam seperti ikan tuna, parang, sardin, kembung dan bilis. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI