GEORGE TOWN – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berharap pimpinan Perikatan Nasional (PN) dapat memberikan pertimbangan sewajarnya untuk parti itu bekerjasama dengan gabungan tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, parti itu tidak mahu dilihat sebagai faktor pengacau yang memecah belahkan undi Melayu dalam PRN kerana penyatuan undi Melayu adalah satu cara terbaik dalam mendepani gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Respon pasang surut daripada PN, pada mulanya saya sendiri ada berjumpa dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan juga Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
“Memang dari awal kami optimistik dan menerima respon positif, jadi apabila kami mohon (sertai PN) dan ditolak kami rasa kecewa, sekarang timbul pula harapan itu, jadi kami harap PN dapat beri pertimbangan sewajarnya,” katanya ketika ditemui di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri Syarahan Umum Pelantikan Profesor bertajuk: Persetujuan Dan Percanggahan Dalam Arena Politik Malaysia yang disampaikan oleh Profesor Dr. P.Sivamurugan.
Semalam, bekas Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan bagi merintis kerjasama pada gerakan Proklamasi Orang Melayu.
Menurut Mukhriz, tujuan utama mengapa Pejuang mahu bekerjasama dengan PN adalah untuk memastikan dalam PRN akan wujud keadaan satu lawan satu serta mengelakkan berlakunya pertembungan kerusi antara calon Pejuang dan PN. – KOSMO! ONLINE