PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 12 Ogos depan sebagai hari mengundi di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang bagi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh pada sidang akhbar khas di sini sebentar tadi selepas mempengerusikan mesyuarat bagi menentukan tarikh-tarikh penting PRN.
“Hari mengundi awal bagi PRN ditetapkan pada 8 Ogos, manakala hari penamaaan calon pada 29 Julai 2023,” katanya.
Isnin lalu, SPR memaklumkan pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas hari ini bagi menentukan tarikh penting PRN termasuk Writ Pilihan Raya, hari penamaan calon, hari pengundian serta daftar pemilih yang akan digunakan.
Terdahulu, SPR turut memaklumkan telah menerima notis pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi enam negeri terlibat daripada speaker masing-masing. – KOSMO! ONLINE