LONDON – Di sebalik lebih sinonim dengan Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino tidak berdepan masalah untuk menyertai Chelsea yang dianggap salah satu kelab seteru dari London.
Selepas mengendalikan latihan buat kali pertama, Pochettino mula pasang impian untuk merubah nasib The Blues yang dipalit keputusan terburuk dalam tempoh 25 tahun, menamatkan Liga Perdana Inggeris musim lalu di tangga ke-12.
“Ia menjadi satu penghormatan dan keterujaan buat saya untuk sertai Chelsea. Kami teruja dan saya tahu Chelsea adalah kelab terhebat di dunia dan sudah pasti mudah untuk membuat keputusan hadir ke pasukan ini.
“Saya fikir ia detik mengujakan buat kami dan sudah pasti kami mahu kembalikan semula kegembiran buat kelab ini. Caranya adalah bekerja keras dan bermain dengan corak yang boleh menghadirkan keterujaan buat peminat.
“Sejarah kelab adalah memenangi perlawanan dan paling penting sekarang adalah bagaimana kami membina pasukan untuk raih kejayaan,” katanya.
Bercakap mengenai skuad muda yang diwarisinya ketika ini, Pochettino menjelaskan beliau tidak pernah risau kerana percaya setiap individu memiliki kualiti tersendiri.
“Kami sukakan pemain yang ada kualiti dan bakat, sekali gus menjadikan lebih terbuka untuk mengejar apa yang dimahukan. Sejak daripada awal, pemilik dan pengarah kelab juga jelas dengan projek sedang dilakukan sekarang. – AGENSI