fbpx

Perkasa golongan wanita melalui Belanjawan 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Usahawan wanita perlu melaksanakan transformasi dalam perniagaan ke arah digital untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.

PETALING JAYA – Pembentangan Belanjawan 2023 pada bulan Februari lalu telah memperincikan beberapa inisiatif yang jelas menunjukkan usaha berterusan kerajaan untuk terus memperkasakan golongan wanita sekali gus merapatkan jurang perbezaan pencapaian antara wanita dan lelaki di negara ini.

Antara intipati Belanjawan 2023 yang memberi manfaat besar kepada golongan wanita adalah cadangan meminda Akta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk membolehkan pemberian geran bersamaan 80 peratus daripada nilai gaji yang diinsuranskan bagi menggalakkan wanita kembali bekerja.

Dianggarkan lebih 130,000 wanita yang kembali bekerja selepas bersalin akan mendapat manfaat daripada geran berkenaan membabitkan dana keseluruhan RM290 juta setahun.

Pensyarah Kanan Bahagian Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Dr. Abdul Rais Abdul Latiff berkata, aspek pembangunan wanita turut diberi penekanan dan ia satu perkara yang menjadi tumpuan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar.

Memang benar, Belanjawan 2023 merupakan kelangsungan daripada belanjawan kerajaan-kerajaan sebelum ini, namun usaha ke arah kesetaraan jantina ini jelas tidak diabaikan.

“Kita boleh lihat dalam Belanjawan 2023, sejumlah peruntukan telah disediakan dan ia mencakupi pelbagai aspek yang memberi manfaat kepada mereka.

“Pada tahun 2010, jumlah wanita yang tidak mempunyai pendidikan formal adalah sebanyak 38 peratus.

“Tetapi pada tahun 2020, kadar tersebut berkurangan kerana 45 peratus daripada golongan wanita yang sebelum ini tidak memiliki latar belakang pendidikan formal telah memperoleh purata pendapatan yang bertambah ekoran nilai upah yang turut meningkat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Abdul Rais berkata, begitu juga daripada aspek latar belakang pendidikan sekolah rendah yang mana kadar asalnya adalah hanya 24 peratus dan telah meningkat kepada 45 peratus.

“Ini bermakna jurang pendapatan ini semakin kurang.

Menurut Abdul Rais, perbandingan lebih setara dapat dilihat kepada golongan berpendidikan tertiari yang bekerja dalam bidang profesional, di mana ia tidak mengalami perubahan yang signifikan.

Katanya, perkara itu menunjukkan bahawa peluang dan ruang masih lagi perlu diberi kepada golongan wanita untuk terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara secara keseluruhan.

“Bagaimanapun, ini tidak menidakkan apa sahaja usaha yang diambil oleh kerajaan.

“Sebagai contoh sejumlah peruntukan telah diberikan untuk golongan wanita yang terlibat dalam keusahawanan, penyediaan pinjaman khas dan kewujudan pusat jagaan kanak-kanak untuk pekerja sektor awam.

Di sektor swasta diwujudkan pusat jagaan yang terpilih dengan yuran berpatutan dan insentif-insentif diberi kepada mereka yang menghantar anak-anak ke taska.

“Ini merupakan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk memastikan golongan wanita boleh bekerja dan terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Apabila melihat secara keseluruhannya daripada aspek keselamatan dan hak, kita melihat pelbagai program dan latihan telah diadakan dan ada akta yang telah diwujudkan untuk golongan wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

“Kerajaan memandang serius perkara ini dengan memberi fokus kepada golongan wanita dan juga kanak-kanak.

“Dalam konteks ini, kita dapat melihat Belanjawan 2023 ini telah menunjukkan komitmen kerajaan untuk meneruskan agenda demi mencapai matlamat Malaysia Madani,” ujarnya.

Abdul Rais berkata, ia juga amat jelas dalam Belanjawan 2023 bahawa aspek pendigitalan menjadi salah satu tumpuan setelah menghadapi krisis pandemik yang mana digital telah menjadi satu kemestian.

“Latihan digital inilah yang diperlukan untuk memastikan semua golongan terutama wanita yang terlibat dalam perniagaan. Sebagai contoh, dahulu peniaga kuih-muih hanya menerima bayaran secara tunai tetapi kini ada antara mereka yang mahir dengan jual beli menggunakan imbas kod QR.

“Perkara itu wajar ditambah baik di kawasan pedalaman ataupun di kawasan-kawasan luar bandar supaya ia dapat meningkatkan sumbangan mereka kepada pembangunan yang lebih stabil,” tambahnya.

Beliau berkata, ketika ini kerajaan dalam usaha mewujudkan Dasar Perlindungan Sosial Negara melalui MySPC bagi menyampaikan maklumat yang mencukupi supaya individu yang layak dibantu tahu mengenai manfaat disediakan kerajaan.

Selain itu, dalam masa yang sama, mereka tahu cara untuk membuat permohonan.

“Apabila adanya satu sistem yang berpusat di mana setiap agensi memiliki data dan program tersendiri, kita dapat lihat seorang individu akan menerima bantuan sewajarnya mengikut keperluan golongan tersebut,” terang beliau. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI