fbpx

Mangsa kepala air ikat perut, kumpul duit kahwin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAYAT Putri Alleya ditemui di kawasan beting pasir, Jeram Mawar pukul 3 petang semalam.

KEMAMAN – Hasrat abang Muhammad Fikri Saliman, 24, untuk melihat adik bongsunya itu mendirikan rumah tangga tidak kesampaian setelah pembantu kedai makan tersebut terlibat dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih di sini pada Sabtu lalu.

Shahrizal, 40, berkata, hatinya sayu mengenangkan Muhammad Fikri atau dikenali Fikri masih belum ditemui, manakala tunang­nya, Putri Balqis Izzati Abdul Rahman pula disahkan me­ninggal dunia selepas mayat gadis itu ditemui pada pukul 7.45 pagi semalam.

“Mereka (Fikri dan Balqis) telah mengikat tali pertunangan dalam bulan Februari lalu.

“Sepatutnya diikat (bertunang) dua tahun tetapi kedua-dua mereka sepakat untuk mempercepatkannya pada bulan Disember tahun ini. Apakan daya tragedi ini pula terjadi,” katanya ketika ditemui di pusat kawalan operasi di Air Putih di sini semalam.

AHLI keluarga Azizah yang menunggu di pusat kawalan operasi kejadian kepala air di Jeram Air Putih, Kemaman semalam. – PUQTRA HAIRRY

Shahrizal berkata, dia melihat kesungguhan Muhammad Fikri yang bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai makan di Batu Pahat mengumpul duit untuk melangsungkan perkahwinan akhir tahun ini.

Tambahnya, adiknya sanggup mengikat perut dan membuat beberapa kerja sambilan demi ‘menghalalkan’ Putri Balqis ­Izzati.

“Dia (Fikri) amat berdikari dan tidak suka menyusahkan sesiapa walaupun saya pernah beberapa kali menawarkan diri untuk membantu.

“Tragedi menimpa adik bongsu saya dan keluarga tunangnya merupakan ujian kedua terberat dalam hidup saya selepas menjadi yatim piatu berikutan kehilangan ibu tercinta, Zaiton Rasib, 63, tahun lalu,” ujarnya.

ALLAHYARHAM MUHAMMAD FIKRI

Shahrizal berkata, dia amat rapat dengan Muhammad Fikri ­kerana mereka menetap bersama di Parit Kuda, Batu Pahat, Johor setelah bergelar yatim piatu.

Katanya, dia hanya sempat bersama adik bongsunya pada pagi Hari Raya Aidiladha, Khamis lalu sebelum dia bergegas untuk beraya dengan keluarga tunang­nya di Felda Lepar Timur 3, Gambang, Pahang.

Kosmo! semalam melaporkan pasangan suami isteri, Karim Abdullah, 39, dan Azizah Eiyi, 40, serta tujuh anaknya berusia empat hingga 18 tahun serta tunang anak perempuan sulung mereka menjadi mangsa fenomena kepala air di Jeram Mawar di sini.

Setakat ini, lapan mayat mang­sa termasuk suami isteri itu dan lima anak mereka telah dijumpai dalam radius sehingga 25 ­kilometer dari lokasi kejadian.

Dalam pada itu, kakak ipar Azizah, Rosilawati Yassin, 49, berkata, jenazah enam beranak akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lepar Hilir 3.

Mereka ialah Azizah dan suami, Karim serta anak mereka, Muhammad Zulqarnain Haikal, 11, Putri Nurerina Natasya, 10, Muhammad Haziq Ziqree, 6, dan Putri Aryana Umaira, 4.

“Kami bersyukur dapat mempercepat proses pengebumian dan berharap usaha mencari baki mangsa berjalan lancar,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, setakat ini, dua mangsa masih belum dijumpai iaitu Putri Nor Fatin Karim, 14 serta Muhammad Fikri.

Katanya, mayat Putri Alleya Maisarah Karim, 16, ditemui di kawasan beting pasir kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian pada pukul 3 petang.

Menurutnya, operasi mencari pada hari ketiga semalam menumpukan sekitar tebing sungai sejauh 32 kilometer. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI