fbpx

Langkawi tercicir lagi daripada laluan LTdL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANNAH (empat dari kiri) hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran LTdL di Menara KBS, Putrajaya semalam.

PENGANJURAN Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 yang bermula pada 23 hingga 30 September depan menyaksikan Langkawi sekali lagi tercicir daripada perlumbaan tersebut selepas laluan perlumbaan diumumkan Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.

Bagaimanapun, ia bukanlah sesuatu yang pelik memandang­kan laluan ikonik itu pernah digugurkan daripada laluan perlumbaan bermula 2016 hingga 2018 sebelum ia kembali pada edisi 2019 hingga 2022.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail bagaimanapun berkata, ketia­daan Langkawi dalam laluan perlumbaan bukan satu perkara luar biasa selain menjelaskan ia memerlukan kos yang cukup besar.

“Kali ini 11 negeri di semenanjung terlibat kecuali Perlis. Kalau buat di Langkawi, kosnya cukup tinggi, namun nama (Langkawi) tetap ada. Selain itu, ini bukanlah kali pertama.

“Bagi saya, ia bukan perkara luar biasa. Perlumbaan di Langkawi memerlukan kos yang cukup tinggi. Dalam pada itu, laluannya juga tidak terlalu ‘selesa’ untuk anjur perlumbaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran LTdL di Menara KBS, Putrajaya semalam.

Turut hadir menyempurnakan majlis pelancaran tersebut ialah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bersama Timbalannya, Adam Adli Abdul Halim.

Dalam pada itu, Shapawi turut memberitahu, 11 pasukan benua, tujuh pasukan Pro serta pasukan kebangsaan Malaysia sudah mengesahkan penyertaan selain pihaknya sedang berunding dengan tiga pasukan World Tour.

“Pihak kita sedang berhubung dengan mereka (pasukan World Tour) di Tour de France (TdF). Setakat ini penerimaan pasukan Pro sangat menggalakkan, cuma kita sedang menunggu keputusan tiga pasukan World Tour ini,” ujarnya.

Sementara itu, Hannah berkata, pihaknya cuba melakukan yang terbaik bagi memastikan LTdL kali ini berlangsung dalam suasana meriah menerusi peruntukan RM8 juta yang diluluskan kabinet dan Kementerian belia dan Sukan (KBS).

“Dengan kos RM8 juta, kita cuba sebaiknya untuk libatkan sebanyak mungkin negeri kali ini. Sebab itu kita memohon Menteri Besar setiap negeri untuk mereka bantu bersama.

“Jumlah tepat belum ada tetapi sekarang Terengganu sedang mendahului dan kita akan bekerja berdasarkan peruntukan tersebut. Bukan setakat negeri, saya juga sudah bercakap dengan syarikat-syarikat korporat,” katanya.

Difahamkan, peruntukan RM8 juta boleh dianggap kecil memandangkan penganjuran-penganjuran sebelum ini memerlukan sekurang-kurangnya RM14 ke RM17 juta.

Untuk rekod, bagi saingan 2023, perlumbaan LTdL akan merentas 11 negeri melibatkan jarak keseluruhan 1,280 kilometer (km) yang akan bermula di Kerteh, Terengganu dan berakhir di Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI