PETALING JAYA – Bangunan kantin di Sekolah Kebangsaan Sri Kelana, di sini, hampir musnah selepas terlibat dalam kebakaran hari ini.
Timbalan Pengarah Bomba Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 2.08 petang tadi.
Katanya, seramai 18 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya dan BBP Jalan Penchala dikejarkan ke lokasi kebakaran.
“Semasa sampai di lokasi didapati kebakaran melibatkan kantin sekolah berkeluasan 822 meter persegi yang terbakar kira-kira 50 peratus.
“Kita berjaya mengawal api pada pukul 2.41 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya lagi, tiada mangsa terlibat dalam kejadian kebakaran tersebut. -KOSMO! ONLINE.