PONTIAN – Kanak-kanak yang mempunyai masalah jantung terbalik akhirnya meninggal dunia di Hospital Pontian di sini, semalam.
Mohd. Adam Amsyar Abdul Rahman, 11, yang menderita jantung terbalik atau Mitral Valve Atresia menghembus nafas terakhir pada pukul 10.30 malam.
Mohd. Adam pernah tular dua tahun lalu, mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika itu, yang kemudian menunaikan impiannya ke Taman Tema Legoland.
Menurut bapanya, Abdul Rahman Rahmad, 49, Mohd. Adam dimasukkan ke hospital, tiga hari lalu selepas mengalami sesak nafas.
“Ketika menerima rawatan di hospital, Adam kerap menyebut hendak jumpa ibunya. Ibunya sudah meninggal dunia dua tahun lalu akibat penyakit kencing manis dan buah pinggang.
“Adam menghembuskan nafas yang terakhir pada pukul 10.30 malam semalam (kelmarin). Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Haji Ahmad pada pagi ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Abdul Rahman memberitahu, Adam yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik itu sempat mengenakan baju Melayu berwarna merah dan menjamah rendang ayam pada pagi Hari Raya Aidiladha, minggu lalu.
Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada badan bukan kerajaan, orang perseorangan dan agensi kerajaan termasuk Majlis Agama Islam Johor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang tidak putus-putus memberi bantuan kepada Adam dan keluarganya.
Pada Februari lalu, Adam dilaporkan semakin lemah dan terpaksa bergantung pada mesin oksigen sepenuhnya ekoran menghidapi masalah Mitral Valve Atresia. – KOSMO! ONLINE