PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengambil keterangan 14 individu berhubung dakwaan terdapat elemen rasuah dalam kalangan pegawai dan anggota Jabatan Imigresen (JIM) di pintu masuk negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, individu tersebut termasuk menteri yang berkenaan selain lapan kakitangan JIM serta wanita warga China bersama rakannya dari negara sama.
Menurutnya, pada masa masa pihaknya sedang mengesan ejen disyaki warga asing didakwa menghubungi rakan kepada wanita warga China tersebut bagi menjalankan siasatan lanjut.
“Kita meneliti sistem prosedur berhubung pengeluaran Not-To-Land (NTL) dikeluarkan Jabatan Imigresen dan apakah proses perlu dipatuhi oleh warga asing. Isu rasuah seperti yang diperkatakan, saya sahkan ada pihak luar terlibat.
“Dikatakan mereka menghubungi wanita berkenaan (rakan kepada wanita warga China) bagi tujuan antaranya membantu beli tiket pesawat dan menetapkan harga (admission fee).
“Justeru, kita nak tahu benarkah perkara ini dan sedang menyiasat. Wanita tersebut bersama rakannya telah kembali ke China hari ini dan kita masih mengesan ejen tersebut untuk mengenal pasti bentuk wang dikatakan,” katanya pada sidang akhbar majlis penutup Program Pemantapan Rakan Strategik Media SPRM di sini, hari ini.
Azam berkata, pihaknya mengesyaki ejen tersebut merupakan warga asing selepas mereka berhubung menggunakan aplikasi WeChat selain ejen tersebut mungkin berkhidmat dengan syarikat dilantik pihak yang menguruskan NTL di KLIA.
Justeru, SPRM akan memanggil keterangan beberapa pihak lagi antaranya Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dan syarikat yang menguruskan NTL beroperasi di KLIA sejak 2017.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan SPRM akan menyiasat dakwaan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkaitan kewujudan isu rasuah di balai ketibaan KLIA.
Terdahulu, tular satu laporan mengenai seorang menteri didakwa menceroboh masuk ke balai ketibaan KLIA bagi melepaskan seorang pelawat China yang ditahan Jabatan Imigresen.
Ekoran laporan itu, King Sing mengakui dirinya adalah menteri yang dikaitkan dengan kejadian itu dan mendakwa kehadirannya telah membongkar kewujudan budaya rasuah dilakukan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara. – KOSMO! ONLINE