fbpx

Gagal kemuka penyata pendapatan, pengarah didenda RM18,000, penalti RM2.43 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SIEW LIAN didenda RM18,000 dan penalti khas berjumlah RM2.43 juta oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI/ KOSMO!

JOHOR BAHRU – Pengarah sebuah syarikat kitar semula didenda RM18,000 dan dikenakan penalti khas berjumlah lebih RM2.43 juta setelah gagal mengemukakan penyata pendapatan syarikat selama dua tahun di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Orang Kena Saman (OKS), Wong Siew Lian, 49, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nurzihan Abdul Rehman.

Mengikut kertas pertuduhan, pengarah syarikat Gagasan Steel (Southern Region) Sdn. Bhd. itu didakwa tiada sebab yang munasabah gagal mengemukakan penyata pendapatan dalam Borang C bagi tahun taksiran 2021 dan 2022 yang mempunyai pendapatan bercukai bagi dua tahun berkenaan sebanyak RM3,385,325 yang boleh dikenakan cukai sebanyak RM812,478.

Sebagai pengarah syarikat, Siew Lian dikehendaki mengemukakan penyata pendapatan syarikat itu kepada Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam tempoh tujuh bulan dari tarikh penutupan akaun dan OKS telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Pendakwaan dijalankan Peguam Kanan Hasil LHDN, Norhidayah Yasin manakala wanita itu tidak diwakili peguam.

Norhidayah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dan mengambil kira kepentingan awam berbanding kepentingan peribadi OKS.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman didenda RM18,000 dan dikenakan penalti khas berjumlah lebih RM2.43 juta.

OKS turut diperintahkan dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda dan penalti khas itu perlu dijelaskan secara ansuran selama 12 bulan kepada LHDN. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI