fbpx

Dakwaan peniaga Uptown Pahlawan Walk dipindahkan tidak benar – Rais

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAIS pada sidang akhbar selepas Program Menyantuni Peniaga Banda Hilir di Dewan Taming Sari MBMB, Melaka. Foto oleh SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan notis arah berpindah kepada para peniaga sekitar Banda Hilir di sini, terutama di Uptown Pahlawan Walk seperti didakwa seorang wanita dalam klip video yang tular di TikTok sejak semalam.

Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin menegaskan, tuduhan mengatakan seluruh peniaga di Uptown Pahlawan Walk yang berjumlah hampir 200 orang bakal dipindahkan secara paksa adalah tidak benar.

“Saya ingin nyatakan dengan jelas tiada satu pun notis dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) kepada peniaga di sekitar Banda Hilir untuk dipindahkan ke tempat lain kerana kita masih dalam tempoh kajian. Ini adalah satu perancangan kerajaan negeri, namun kajian mendalam kita akan lakukan lagi serta mengambil masa yang panjang,” katanya kepada pemberita selepas Program Menyantuni Peniaga Banda Hilir di Dewan Taming Sari MBMB di sini, malam tadi.

Tambah Rais, MBMB baharu sahaja diberi mandat ketika mesyuarat baru-baru ini untuk mengadakan sesi dialog dan perbincangan dengan peniaga terlibat termasuk pengusaha hotel sekitar Banda Hilir.

Menurutnya, tujuan kerajaan negeri merancang mewujudkan zon bebas kenderaan sejauh 2.4 kilometer (km) pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad adalah untuk memastikan Melaka bergelar bandar rendah karbon.

“Pada sesi dialog yang diadakan, secara jelas ada peniaga yang menyatakan persetujuan dan sebahagian pula tidak bersetuju dan saya akan turun padang bertemu dengan seluruh peniaga terlibat bagi mendapat maklum balas sebelum keputusan dibawa pada mesyuarat kerajaan negeri, sama ada akan melaksanakan cadangan itu atau tidak,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI