fbpx

Budak 9 tahun maut dicekik abang kandung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LOKASI seorang kanak-kanak lelaki maut dipercayai dicekik abang kandungnya di Kampung Bukit Piatu, Melaka. -foto oleh SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut selepas dipercayai dicekik abang kandungnya berusia 14 tahun di Kampung Bukit Piatu, di sini tengah hari tadi.

Menurut saksi yang juga jiran mangsa, Qhurun Ain Johani, 31, tragedi itu disedari oleh ibu mangsa yang melihat kejadian menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) disalurkan menerusi aplikasi di telefon bimbitnya kira-kira pukul 12 tengah hari.

“Ibu mereka yang ketika itu sedang bekerja telah menghubungi saya meminta bantuan memeriksa keadaan dua beradik itu kerana dia melihat abangnya sedang mencekik mangsa di aplikasi CCTV.

“Sebaik sahaja saya masuk ke dalam rumah, saya menjerit bila nampak si abang sedang mencekik leher adiknya yang telah pucat dan dipercayai tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi.

Tambahnya, ketika kejadian, abang mangsa juga seakan-akan tidak menyedari perbuatannya sehingga dia terpaksa menepis kuat genggaman tangan remaja berkenaan.

Ujarnya, mangsa merupakan anak ketiga daripada empat beradik, manakala suspek adalah anak sulung keluarga tersebut.

Jelasnya, ketika kejadian dua beradik yang lain sedang bersekolah, manakala mangsa mengalami sakit mata dan tinggal bersama abangnya.

“Saya tak sangka kejadian ini berlaku di depan mata kerana abangnya sebelum ini memang budak yang baik.

“Cuma baru-baru ini dia mengalami trauma kerana mendakwa menjadi mangsa buli di sekolah dan meracau, namun dikatakan telah sembuh selepas dibawa berubat,” ujarnya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI