PETALING JAYA – Sebanyak 18 peratus sahaja daripada 15.8 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencapai sasaran simpanan asas mengikut umur sebanyak RM240,000.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, berdasarkan jumlah tersebut ia bersamaan dengan 30 peratus daripada 8.7 juta pencarum KWSP yang aktif.
Katanya, ketidakcukupan simpanan persaraan amat membimbangkan dan keadaan itu berlaku disebabkan pelbagai faktor.
“Simpanan asas ikut umur sebanyak RM240,000 adalah sasaran minimum apabila pencarum capai umur 55 tahun. Antaranya, struktur gaji rendah, salah jajaran antara umur pengeluaran penuh dan umur persaraan serta caruman tidak konsisten.
“Selain itu, kurang pekerjaan selain kadar celik kewangan yang rendah juga menjadi punca, ” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2023 yang bertemakan ‘Changing the Game: Building the World We Want’, hari ini.
Menurut beliau, pergantungan golongan tua juga menunjukkan peningkatan daripada setiap 10 orang dewasa umur bekerja yang diperlukan untuk menyokong seorang warga emas pada 2020, kepada tiga orang dewasa umur bekerja pada 2050.
“Liputan perlindungan sosial di Malaysia sempit dan tidak mencukupi dengan hanya 9.1 peratus penerima dilindungi berbanding purata 55.1 peratus untuk Asia dan 12.8 peratus untuk dunia.
“Populasi Malaysia yang berumur 65 tahun ke atas meningkat lebih cepat daripada kumpulan umur lain, sistem perlindungan sosial yang lebih inklusif diperlukan,” katanya.
“Bagi menghadapi cabaran berterusan, KWSP sedang laksanakan langkah bagi menjamin kesejahteraan persaraan masa depan rakyat Malaysia.
“Antaranya, KWSP kini tertumpu kepada lanjutan perlindungan KWSP dan meningkatkan kecukupan simpanan persaraan ahli,” jelasnya.
Selain itu katanya, KWSP turut mengerahkan unit mudah alih untuk menjangkau tujuh juta orang dalam sektor tidak formal dan bekerja sendiri serta berpotensi menjadi ahli KWSP. – KOSMO! ONLINE