KUALA LUMPUR – Enggan memanjangkan cerita, pelawak juga penyampai radio popular, Shuib nekad memaafkan individu bernama Zuhairi Abu Othman yang sebelum ini mengaitkan kematian Allahyarham Siti Sarah Raisuddin dengan dakyah Freemason.
Akui bapa empat cahaya mata itu, keikhlasan Zuhairi membuka hatinya untuk menerima permohonan maaf yang berlangsung secara terbuka di sebuah cawangan restoran miliknya di Bandar Permaisuri, Cheras tengah hari tadi.
“Sebenarnya saya terpanggil untuk berjumpa dia (Zuhairi) berikutan tuduhan terhadap arwah isteri saya kononnya dipaksa ditidurkan seolah-olah, saya yang membunuhnya.
“Sebagai seorang suami dan ayah, tentu dia tahu bagaimana perasaan anak-anak saya membaca fitnah, begitu juga bapa mentua saya, Raisuddin Hamzah.
“Kalau dakwa saya anggota Freemason saya masih boleh terima walaupun tak betul, tapi babitkan kematian orang yang saya cintai, itu melampau.
“Tuduhan itu mendatangkan kekeliruan, sedangkan saya yang menghantar arwah ke hospital dan menjadi individu terakhir menatap wajah arwah sebelum ditutup dengan plastik pembungkus mayat,” katanya.
Berlangsung hampir sejam, awalnya Shuib tampak sedikit beremosi, namun kemudian mampu bertenang setelah melihat sikap Zuhairi yang hadir secara beradab dan penuh rasa bersalah.
Pada masa sama, Shuib teguh dengan pendirian mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang lagi individu yang menggunakan akaun media sosialnya ‘John Dihani’ atas sebab serupa.
Akui Shuib, setakat ini dia sudah mengenal pasti nama, alamat serta nombor telefon individu terbabit yang dilihat bersikap biadap dengan fitnah yang melampau.
“Saya sudah minta peguam untuk hantar satu surat kepadanya, rasanya dia pun sudah terima surat itu hari ini.
“Memang dia sudah menghubungi saya malam tadi menerusi mesej, tetapi nadanya tidak menunjukkan tanda kesal,” katanya lagi.
Akui pemilik nama sebenar Shahmira Muhammad, tindakan tegas ini diambil bagi membersihkan peringatan kepada orang ramai jangan mudah memfitnah terutama kepada insan yang sudah tiada.
Semalam Shuib nekad mencari individu terbabit sampai ke lubang cacing demi mendapatkan keadilan dan tidak sampai 24 jam dapat mengesan lelaki tersebut.
Dalam tulisan itu mendakwa arwah dipaksa untuk ditidurkan ketika dijangkiti Covid-19 dua tahun lalu, selain mengatakan Freemason menggunakan artis untuk mempromosikan vaksin walaupun terpaksa mengorbankan keluarga sendiri.
Terdahulu kecoh seorang individu membuat tuduhan Siti Sarah dipaksa ditidurkan sebagai bukti keberkesanan vaksin, namun akhirnya meninggal dunia. Tulis individu itu lagi, Freemason menggunakan artis untuk mempromosikan kebaikan vaksin, selain menyatakan Shuib tidak boleh mengingkari arahan walaupun terpaksa mengorbankan keluarga sendiri.
Semakan Kosmo! Online mendapati, kenyataan individu itu dibuat berpandukan sekeping foto Shuib bersama isteri baharunya, Watie yang menutup sebelah mata masing-masing sepertinya sinonim dengan organisasi ‘rahsia’ tersebut. Perbuatan tersebut dipercayai kononnya sebahagian daripada dakyah pertubuhan dimaksudkan, sedangkan itu hanya iklan untuk sebuah kedai barang kemas.- KOSMO ONLINE